Bintang Brazil, Gabriel Jesus, digantung dua bulan daripada menyertai sebarang perlawanan antarabangsa oleh Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) gara-gara tingkah lakunya dalam perlawanan akhir Copa America bulan lalu.

Pemain itu menghasilkan satu gol dan satu bantuan jaringan sebelum diarahkan keluar padang ketika Brazil menewaskan Peru 3-1 di Stadium Maracana, 7 Julai lalu.

Penyerang Manchester City itu menyerang pengadil selepas dilayangkan kad kuning kedua sebelum dilihat menolak monitor VAR dan menangis di dalam terowong.

CONMEBOL mengumumkan penggantungan dua bulan buat Jesus, awal pagi tadi, dalam satu kenyataan yang tertulis: "Pemain itu digantung daripada menyertai perlawanan rasmi dan persahabatan buat skuad kebangsaannya dalam waktu yang ditetapkan."

Jesus turut didenda AS$30,000 (RM126,195) dan akan terlepas aksi persahabatan menentang Colombia dan Peru bulan depan, namun mempunyai tempoh tujuh hari untuk mengemukakan rayuan.

Sementara itu, tuan rumah Copa America, Brazil, turut didenda AS$15,000 (RM63,097) berserta amaran ekoran kelakuan penyokongnya.

Ia merupakan waktu yang sibuk buat CONMEBOL selepas tamat Copa America dengan bintang Argentina, Lionel Messi, dan kapten Chile, Gary Medel, turut digantung dan didenda.