Tidak matang dan naif. Itulah gambaran terbaik mengenai prestasi Jerman.

Jerman mungkin mengelak daripada disingkirkan Sweden dalam kempen Piala Dunia Russia awal pagi tadi hasil kemenangan 2-1 menerusi jaringan lewat Toni Kroos, sekali gus menjadikan saingan Kumpulan F terbuka luas. Begitupun, juara dunia itu menyulitkan situasi sendiri.

Menjelang perlawanan getir itu, Joachim Low menegaskan Jerman telah belajar daripada kesilapan yang menyaksikan mereka dikejutkan Mexico sehingga mencetuskan dakwaan bahawa skuad itu dalam keadaan tidak harmoni.

Justeru, Low memberi jaminan situasi kali ini pasti berbeza.

Beliau membuat rombakan terhadap kesebelasan utamanya dengan menggugurkan Mesut Ozil dan Sami Khedira serta memasukan pemain kegemaran ramai -- Marco Reus.

Bagaimanapun, hasilnya lebih kurang sama di Stadium Fisht sehingga memaksa Jerman mengerah kudrat dalam formasi 2-2-6 dan melancarkan asakan hebat, cuma tidak bernasib baik untuk menembusi pintu gol lawan.

Jerman dan Sweden sedar keadaan ini akan berlaku. Oleh itu, barisan Sweden mengintai serangan balas sementara barisan Jerman akan menguasai permainan.

Namun, Jerman mempamerkan semangat juang tinggi sambil pertahanan yang dikemudi Jerome Boateng dan Antonio Rudiger -- menggantikan Mats Hummels yang tercedera -- sering terdedah seperti ketika tumbang kepada Mexico.

Tambahan pula, situasi itu tidak dibantu rakan-rakan lain yang lebih sibuk di bahagian serangan sehingga Rudiger dibiarkan bersendirian, lalu mereka dikejutkan dengan jaringan Sweden selepas sejam permainan apabila Ola Toivonen mencipta ruang sehingga mencetuskan panik kem Jerman yang berdepan penyingkiran awal.

Keputusan mungkin menjadi lebih buruk lagi menuju waktu rehat. Rayuan penalti Sweden tidak diendahkan sambil penyudah tumpul Viktor Claesson serta ketangkasan Manuel Neuer memastikan peluang Jerman terus bernyala.

Beberapa minit selepas itu, barisan anak buah Low itu memadamkan kelebihan lawan menerusi Reus, lantas menyemarakkan lagi asakan Jerman.

Kemenangan itu dicemari dengan kad merah Boateng, namun Jerman masih terus mengatur serangan dan usaha itu membuahkan hasil pada waktu kecederaan.

Jerman mungkin masih selamat, namun lebih banyak keraguan mengenai Low, taktiknya dan pasukannya.