Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) melakukan permohonan maaf diatas reaksi yang dipamerkan pasukan mereka terhadap Sweden sewaktu kemenangan dramatik 2-1, awal pagi tadi.

Sepakan percuma Toni Kroos pada minit ke-95 membolehkan skuad juara bertahan itu bangkit daripada ketinggalan untuk mencerahkan peluang bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Jaringan itu disambut dengan reaksi melampau pemain-pemain serta barisan kejurulatihan Jerman yang merayakannya sehingga memaksa pegawai perlawanan masuk campur.

Pengurus Sweden, Janne Anderson, mendakwa sesetengah wakil Jerman meraikan gol itu dengan berlari di depan mereka dan terdapat juga antara mereka yang menunjukkan isyarat kepada kem Sweden.

Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low, menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang tidak disedari tetapi pihak DFB telah tampil untuk memohon maaf.

"Ia satu aksi yang penuh emosi. Akhirnya, reaksi dan tingkah laku daripada pegawai kami ke arah bangku simpanan Sweden terjadi.

"Itu bukan gaya kami. Kami telah meminta maaf kepada pengurus Sweden serta seluruh pasukannya," kata kenyataan rasmi pihak DFB menerusi laman Twitter rasmi.