Timo Werner menegaskan Jerman masih mampu menjuarai Piala Dunia walaupun tewas dalam aksi pembukaan kepada Mexico 1-0, semalam.

Hirving Lozano meledak gol tunggal dalam pertembungan Kumpulan F itu tetapi Mexico melepaskan beberapa peluang untuk meraih kemenangan dengan jurang lebih besar.

Jerman, yang memenangi hanya satu perlawanan persahabatan menjelang Russia 2018, gagal menampillkan aksi terbaik dan dilihat bakal bergelut untuk meloloskan diri ke pusingan kalah mati.

Mereka akan berdepan Sweden, Sabtu ini, dan pemain berusia 22 tahun, Werner, percaya mereka mampu bangkit dan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi empat tahun lalu.

"Saya yakin kami mampu memenangi Piala Dunia," katanya.

"Kami adalah Jerman dan kami mahu memenangi setiap perlawanan. Perkara seperti ini sering berlaku tetapi kami perlu segera bangkit dan mencari jalan penyelesaian.

"Ia lebih baik kami tewas dalam aksi pertama daripada perlawanan keempat atau kelima. Sepanyol tewas dalam aksi pertama Piala Dunia di Afrika Selatan dan akhirnya muncul juara. Kini kami perlu bangkit dan menang ke atas Sweden."