Pemain Jerman, Thomas Muller, melaungkan keyakinan akan meraih kemenangan menjelang aksi berdepan Sweden walaupun pasukannya berdepan kemungkinan tersingkir awal daripada saingan Piala Dunia 2018.

Juara dunia itu akan menentang Sweden dalam aksi kedua Kumpulan F di Sochi, Sabtu ini, seminggu selepas dikejutkan oleh Mexico dalam perlawanan pertama.

Selepas tewas 1-0, wujud dakwaan bahawa keharmonian dalam skuad Jerman telah berubah tetapi Muller pantas menafikannya sambil yakin Die Mannschaft akan mengatasi Sweden yang menundukkan Korea Selatan sebelum ini.

"Kami menjadi kritikan ramai. Dalam masa sama, kami meneliti semula kesilapan dan kini mahu meneruskan kemaraan bersama-sama," kata Muler.

"Jerman mempunyai dua aksi penting. Tekanan sangat tinggi tetapi kami tidak akan memenangi perlawanan jika tidak yakin dengan kemampuan sendiri dan hanya mencari kesalahan antara satu sama lain.

"Tiada apa yang kami mahukan selain kemenangan ke atas Sweden dan anda harus percaya kepada kami," katanya.

Sementara itu, pemain Sweden, Emil Forsberg, optimis pasukannya mampu mengekalkan kutipan tiga mata ketika berdepan Jerman, lebih-lebih lagi dengan kehadiran semula pertahanan, Victor Lindelof, yang terlepas aksi pertama akibat masalah kesihatan.

Dalam masa sama, dia menghormati kemampuan Jerman dan menyeru agar rakan sepasukannya bermain di tahap terbaik Sabtu ini.

"Saya bercakap dengan beberapa wartawan dan sedar apa yang berlaku. Sudah pasti Jerman dikritik hebat," ujar Forsberg.

"Mereka hadir ke Russia sebagai pilihan utama dan mempunyai pasukan yang hebat. Jika gagal menang, anda akan dikritik tetapi mereka mempunyai mentaliti yang kuat dan saya percaya kami harus bekerja keras pada Sabtu ini.

"Kami perlu beraksi di tahap 110 peratus dan melakukan segala-galanya dengan baik. Sukar untuk mengatasi mereka tetapi kami sudah bersedia. Kami mengimpikan sesuatu yang besar," tambah Forsberg.

PEMAIN TUMPUAN

Jerman - Marco Reus

Banyak pihak yang terkejut apabila Joachim Low meletakkan Reus di bangku simpanan ketika berdepan Mexico, lebih-lebih lagi selepas Leroy Sane tidak dinamakan dalam skuad di Russia. Seluruh kem Jerman sudah pasti mengharapkan sentuhan ajaib pemain Borussia Dortmund ini ketika berdepan Sweden. Berbekalkan kepantasan, Reus mampu menjadi watak utama buat Jerman.

Sweden - Andreas Granqvist

Pemain terbaik perlawanan ketika berdepan Korea Selatan, Granqvist mempunyai tugas besar untuk mengekang kelibat pemain seperti Timo Werner, Thomas Muller dan Marco Reus pada Sabtu ini. Bagaimanapun, pemain berusia 33 tahun ini dilihat sebagai seorang tembok kebal buat Sweden, jadi dia dijangka mampu menjalankan tugas dengan baik.