Marco Reus kembali ke pangkuan skuad Jerman sambil Joachim Low memilih untuk merehatkan Marc-Andre ter Stegen dan Jerome Boateng untuk pertembungan Liga Negara-Negara Eropah dengan Belanda.

Penjaga gawang Barcelona, ​​Ter Stegen, tersisih ekoran kecederaan bahu sementara Boateng dipinggirkan untuk memberi ruang kepada pertahanan berkenaan berlatih bersama kelabnya ketika rehat antarabangsa.

Jerman tewas dua daripada tiga pertemuan Kumpulan 1 Liga A dan berdepan penyingkiran di peringkat itu. Ia kempen buruk dalam kejohanan yang baru diperkenalkan itu selepas mereka gagal mempertahankan gelaran Piala Dunia di Russia.

Pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos, tersenarai untuk menghadapi Belanda di Gelsenkirchen pada 19 November ini, namun tidak akan terlibat dalam pertemuan menentang Russia, empat hari sebelumnya.

Pertahanan tengah Bayern Munich, Boateng, menjelaskan keputusannya untuk ditinggalkan daripada skuad itu diambil selepas mengadakan perbincangan dengan pengurus Jerman, Low.

"Selepas melalui perbincangan yang sangat baik dan meyakinkan dengan jurulatih kebangsaan, selepas setahun yang sukar, saya berpeluang untuk diketepikan bagi dua perlawanan antarabangsa yang akan datang agar saya dapat terus bekerja keras di Munich dalam usaha mengembalikan kecergasan," tulis Boateng di Twitter.

"Saya mengharapkan yang terbaik buat pasukan kebangsaan yang akan menentang Russia dan Belanda. Terima kasih kepada jurulatih kebangsaan!"

Pengurus Bayern, Niko Kovac, mencadangkan langkah Boateng itu -- pemenang Piala Dunia pada 2014 -- bukanlah isyarat bahawa masa depan pemain berusia 30 tahun itu di pentas antarabangsa sudah berakhir.

"Ia keputusan jurulatih Jerman," kata Kovac dalam sidang akhbar. "Tidak menyenaraikan Jerome adalah sesuatu yang baru tapi itu tidak bermakna dia tidak akan tampil lagi bersama mereka pada masa akan datang. Dia berpeluang untuk berlatih bersama kami ketika rehat antarabangsa.

"Dia dalam keadaan yang sangat baik baru-baru ini dan saya tidak perlu bercakap tentang ini atau menganggap ia adalah pengakhiran terhadap kariernya dalam pasukan kebangsaan.

"Joachim Low sudah memberitahu saya dan saya pasti dia akan memberitahu Jerome (sebab-sebab mengapa dia tidak dipilih)."

Sementara itu, Reus kembali menjadi perhatian susulan prestasi memberangsangkannya untuk mengetuai Borussia Dortmund meraih tangga teratas Bundesliga menjelang pertembungan 'Klassiker' dengan Bayern di laman sendiri, awal pagi esok.

Pemain berusia 29 tahun itu telah menyumbat enam gol dalam Bundesliga sambil Dortmund berkelebihan empat mata ke atas Bayern menjelang aksi di Signal Iduna Park itu.