Jerman bukan pasukan pilihan Euro 2020 -- Kroos

Oleh Staff Writer 17 November 2019 404
Jerman bukan pasukan pilihan Euro 2020 -- Kroos
JERMAN 4 BELARUS 0

Toni Kroos mengakui kekurangan pengalaman dalam skuad Jerman adalah faktor mereka bukan pasukan pilihan dalam Euro 2020, namun dia tidak mengetepikan peluang mereka untuk bergelar juara.


Jerman layak buat ke-13 dalam saingan Euro dengan kemenangan 4-0 ke atas Belarus di Monchengladbach awal pagi tadi.

Matthias Ginter membuka jaringan pada penghujung separuh masa pertama sebelum Leon Goretzka menggandakan kelebihan sebelum dua gol daripada Kroos melengkapkan kemenangan skuad bimbingan Joachim Low itu.

Keputusan akhir itu membayangi kesukaran yang dialami juara dunia 2014 itu selepas mereka terpaksa bergantung kepada tiga tampanan daripada penjaga gol -- termasuk menafikan sepakan penalti yang diambil Igor Stasevich.

Low telah mengetepikan sebilangan besar pemain senior pasukan sejak aksi hambar dalam Piala Dunia 2018 dan Kroos, salah seorang bintang dalam pasukan, berpandangan terdapat ruang yang harus diperbaiki oleh skuad muda Jerman itu.

"Kami masih lagi kurang daripada segi pengalaman tetapi mula menampilkan peningkatan dalam mutu permainan," katanya seperti yang dilaporkan UEFA.com.

"Kami akan mengetahui kemampuan kami sejurus sebelum kejohanan bermula. Buat masa ini, saya tidak melihat kami adalah pilihan kejohanan. Tetapi ia tidak bermakna apa-apa."

Seperti Kroos dan Manuel Neuer, Ginter merupakan tunjang kemenangan pasukan apabila melakukan lorongan untuk jaringan kedua dan ketiga pasukan selepas membuktikan jaringan di Borussia-Park, laman keramat buat kelab Borussia Monchengladbach.

Flik yang dilakukan Ginter menjadi jaringan sulungnya buat skuad Jerman dan Neuer pula berkata "akhirnya".

"Jaringan pertamanya buat Jerman? Selepas 29 perlawanan, sudah tiba masa dia menjaringkan gol," kata Neuer. "Dia telah menyempurnakannya dengan penuh bergaya."

Tambah Ginter, "Menjaringkan gol itu sebagai seorang pemain pertahanan -- membuktikan tiada apa yang mustahil. Betul kata Neuer, selepas 29 perlawanan, akhirnya saya menjaringkan gol.

"Menjaringkan gol di Gladbach melengkapkan kegembiraan saya."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen