JEPUN 2 SENEGAL 2

Jepun dan Senegal terpaksa menunggu sehingga aksi terakhir peringkat kumpulan untuk memastikan tempat ke pusingan kedua selepas kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 2-2 dalam aksi Kumpulan H di Ekaterinburg Arena, sebentar tadi.


Selepas masing-masing mengutip tiga mata dalam perlawanan pertama, kedua-dua pasukan sudah pasti mahu meneruskan kecemerlangan dan tatkala aksi baru bermula 10 minit, Senegal terlebih dahulu mengejutkan skuad Samurai Biru itu apabila membuka tirai jaringan.

Kesilapan penjaga gol, Eiji Kawashima, yang gagal menolak keluar bola hantaran lintang Youssouf Sabaly dengan kemas membolehkan bintang sensasi Senegal, Sadio Mane, mudah menyempurnakan peluang di depan gawang untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Tersentak dengan pendahuluan lawan, Jepun yang dibimbing Akira Nishino mula mengatur gerakan untuk mencari gol penyamaan.

Gerakan yang kemas dan lebih teratur akhirnya membolehkan Jepun menjadikan kedudukan 1-1 setelah pemain sayap, Takashi Inui, menyempurnakan hantaran pendek Yuto Nagatomo pada minit ke-34 untuk menewaskan Khadim N'Diaye.

Bersambung babak kedua, permainan tampak seimbang memandangkan kedua-dua pasukan dilihat lebih berhati-hati dalam mengatur gerakan.

Senegal kembali berada di depan pada minit ke-71, kali ini menerusi Moussa Wague setelah pertahanan berusia 19 tahun itu menyambut hantaran penek Mbaye Niang untuk melepaskan rembatan menewaskan Kawashima.

Bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan tujuh minit apabila Jepun kembali menyamakan kedudukan menerusi pemain veteran, Keisuke Honda, yang menyempurnakan bola lorongan Inui.

Kedudukan 2-2 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menjadikan persaingan untuk merebut tempat ke pusingan kedua dalam Kumpulan H terus terbuka.