Pengendali Sabah, Jelius Ating, berharap calon pemain import mereka, termasuk yang terbaru, Vinicius Calamari dari Brazil, akan membuktikan keupayaan sebenar dalam aksi pra-musim terakhir mereka menentang Kaya FC di Pusat Latihan Negara Persekutuan Bola Sepak Filipina (PFF), Carmona, Cavite, petang esok.

Penyerang tengah berusia 30 tahun itu menyertai calon import dari Korea, Park Tae Su yang sudah diuji bersama penyerang dari Moldova, Petru Leuca, ketika Sabah menewaskan Stallion FC 4-2 dalam perlawanan persahabatan pertama di Stadium Binan, Laguna, semalam.

Bagaimanapun, Petru yang turut menyumbangkan satu gol terpaksa melupakan hasrat menyarung jersi Sabah apabila mengalami kecederaan.

"Lawan kita esok (hari ini) lebih baik berbanding kelmarin (Selasa lalu) yang bermakna kita juga akan mendapat ujian lebih getir," kata Jelius ketika dihubungi, hari ini.

Stallion FC adalah penghuni tempat keempat manakala Kaya FC naib juara Liga Bola Sepak Filipina musim lalu dan layak ke Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini.

Kaya FC juga lawan Sabah pada pra-musim lalu di mana Sabah tewas 1-2.

"Saya mengharapkan persembahan lebih baik daripada pemain tempatan kami berbanding perlawanan pertama (Selasa lalu) manakala dua calon import itu, kami harap dapat lihat kemampuan sebenar mereka," katanya.

Tambahnya, apa pun keputusan dalam perlawanan pra-musim mereka bukanlah isu utama kerana apa yang diharapkannya ialah dapat melihat lebih jelas kelebihan dan kelemahan pasukan.

"Dua perlawanan di sini akan jadi panduan melakukan sentuhan terakhir terhadap pasukan sebelum memulakan cabaran Liga Perdana menentang Johor Darul Ta'Zim II (JDT II) di Stadium Likas pada 2 Februari," katanya lagi.