Zinedine Zidane berkata adalah jelas bahawa Gareth Bale digugurkan daripada skuad Real Madrid ketika tewas di tangan Real Sociedad.

Bale tidak disenaraikan dalam skuad yang bertandang ke Anoeta itu, di mana mereka tewas 3-1, menyaksikan Jesus Vallejo dilayangkan kad merah dan Los Blancos meraih kekalahan ketiga dalam lima aksi terakhir LaLiga.

Zidane menolak untuk mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan ejen Bale, Jonathan Barnett, yang berkata perpindahan boleh berlaku jika tawaran besar diterima di penghujung musim.

Namun, Zidane mengesahkan Bale boleh beraksi menentang Sociedad, namun tidak pasti sama ada bintang Wales itu akan turun bertemu Real Betis dalam aksi terakhir liga.

"Ya," kata Zidane ketika ditanya sama ada Bale cergas untuk menghadapi Sociedad.

"Jelas apa yang saya lakukan minggu ini. Kini, masih ada satu lagi perlawanan dan lihat sahaja tahun depan. Ia selesai."

Kekalahan itu juga bermakna Los Blancos terlepas peluang untuk naik ke tangga kedua liga, namun apa yang positif adalah persembahan Brahim Diaz.

Bekas pemain Manchester City itu membuka tirai jaringan menerusi gerakan solo sebelum Mikel Merino menyamakan kedudukan dan dua gol dalam babak kedua oleh Joseba Zaldua dan Ander Barrenetxea mengesahkan tiga mata buat Sociedad.

"Diaz bermain dengan baik, dia pemain yang bagus," ujar Zidane.

"Dia sangat menarik, muda dan tidak lebih daripada itu. Kami akan lihat apa yang boleh dilakukan musim depan tetapi ketika ini, dia dapat beraksi dan menjalankan tugas dengan baik."