Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak gentar dengan reputasi Pahang yang kini bergelar pendahulu Liga Super, malah yakin aksi di tempat sendiri malam ini bakal memberi kelebihan buat mereka meneruskan momentum kemenangan.

Tonggak utama JDT, Safiq Rahim, menghormati kemampuan Pahang yang dibarisi ramai pemain berkualiti pada musim ini.

Biarpun begitu, Safiq menegaskan JDT sudah bersedia sepenuhnya dalam pertembungan yang dijangka mendebarkan di antara kedua-dua pasukan.

Malah, dua kemenangan berturut-turut sebelum ini memulihkan keyakinan JDT bahawa mereka masih berada di landasan tepat untuk kembali mencabar kejuaraan liga.

"Saya menghormati semua pemain dalam skuad Pahang tetapi seperti saya katakan, saya lebih risaukan persembahan saya dan rakan sepasukan lain.

"Kalau kami dapat berikan yang terbaik, insya-Allah kami mampu atasi siapa pun pihak lawan kami," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, enggan khuatir dengan rekod jaringan hebat skuad lawan yang telah meledak 20 gol dalam tujuh perlawanan setakat ini.

Dia mengingatkan rekod pertahanan JDT buat masa ini merupakan yang terbaik dalam saingan Liga Super apabila sekadar melepaskan empat jaringan dalam enam perlawanan.

"Kami sebuah pasukan yang sedang menampakkan kemajuan dengan cepat. Kami gagal dibolosi dalam tiga perlawanan setakat ini di samping menjaringkan gol sebagai satu pasukan.

"Kami tidak memiliki pemain bintang yang akan menjalankan tugas selaku penjaring tunggal, itu bukan cara kami," ujar Mora.