JDT masih pilihan utama. Rata-rata itulah ramalan pemerhati bola sepak negara yang menjangkakan perebutan gelaran juara Liga Super membabitkan kelompok yang lebih besar dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) selaku pilihan utama untuk musim 2019.

Kempen Liga Super 2019 tampak mencetuskan keghairahan berbeza dalam kalangan peminat berbanding beberapa musim terdahulu.

Ini berdasarkan keterujaan banyak pasukan menyediakan barisan pemain terbaik masing-masing, termasuk persediaan latihan pra-musim.

Jika sebelum ini membabitkan persaingan empat pasukan teratas, perebutan kali ini bagaimanapun tampak menarik dengan cabaran yang lebih sengit -- sekurang-kurangnya di atas kertas.

Ini susulan pasukan seperti Pahang, Selangor dan Melaka mula memperkasakan barisan pemain mereka menerusi pengambilan pemain yang lebih berkualiti musim ini.

Pahang kembali mendapatkan khidmat Dickson Nwakaeme tatkala Selangor punya aura tersendiri di bawah bimbingan B. Sathianathan dan kelibat pemain berstatus bintang Melaka tampak menggerunkan lawan.

Pasukan-pasukan ini dianggap mampu menggugat status JDT selaku juara lima kali berturut-turut, namun tetap dicanang pasukan terkuat berdasarkan barisan pemain musim ini.

"Saya melihat pasukan lain turut membuat persiapan yang terbaik bagi menghadapi musim 2019 dan ia bakal dilihat bermula Jumaat ini," kata bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah.

"Pencabar JDT turut memberikan keutamaan dalam fasa pra-musim kali ini dengan beberapa pemain import yang berkualiti menyertai pasukan seperti Melaka dan Pahang," kata bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan.