Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat persiapan awal bagi menghadapi Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan dengan mengikat pemain pertahanan dari Brazil, Mauricio dos Santos Nascimento.

JDT menerusi laman Facebook rasminya, Johor Southern Tigers, memaklumkan pemain kelahiran Sao Paulo itu pernah beraksi dengan beberapa kelab di benua Eropah seperti Lazio, Spartak Moscow dan Sporting Lisbon.

Mauricio bakal menggantikan tempat rakan senegaranya, Marcos Antonio, yang dilepaskan oleh pengurusan JDT.

Untuk rekod, Malaysia meraih satu slot automatik dan satu slot pusingan kelayakan saingan ACL 2019 menerusi ranking kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Nov 2017 yang menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ke-13.

JDT dipilih mengisi slot automatik setelah menjuarai Liga Super buat kali kelima berturut-turut.

-- BERNAMA