PAOK 0 CHELSEA 1

Jaringan awal daripada Willian membolehkan Chelsea meraih kemenangan dalam aksi pertama Liga Europa apabila menewaskan PAOK, sekali gus memberikan skuad kendalian Maurizio Sarri itu kemenangan enam perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan, awal pagi tadi.


Gol keempat peribadi daripada pemain Brazil itu dalam lima aksi di peringkat Eropah dihasilkan daripada larian Ross Barkley yang mempamerkan permainan cemerlang di Thessaloniki.

Chelsea seharusnya meraih kemenangan lebih besar jika tidak membazirkan peluang di depan gol, terutama peluang yang dilepaskan oleh penyerang, Alvaro Morata.

Namun, apa yang penting buat The Blues adalah meraih tiga mata dalam kunjungan yang mungkin menjadi aksi paling sukar buat mereka dalam Kumpulan L.

Anak-anak buah Sarri mengejutkan ribuan penyokong tuan rumah selepas tujuh minit permainan apabila rembatan rendah Willian masuk ke dalam gawang menerusi bawah badan Alexandros Paschalakis.

Morata hampir menggandakan kelebihan pelawat tidak lama selepas itu tetapi kebuntuannya menyempurnakan peluang di depan gol berterusan setelah tandukannya tersasar.

Penyerang Sepanyol itu melepaskan lima lagi peluang keemasan sebelum rehat tatkala Chelsea gagal menggunakan kesempatan untuk meraih pendahuluan selesa, termasuk ruang terbuka yang disia-siakan oleh Pedro.

Marcos Alonso dan Antonio Rudiger gagal menyempurnakan peluang selepas sejam perlawanan walaupun Chelsea terus mengawal permainan, apabila gagal menyudahkan gerakan Barkley.

Walaupun tuan rumah menerima kehadiran penjaring terbanyak kelab pada musim lalu, Aleksandar Prijovic, ternyata dia tidak mampu membantu PAOK di jentera serangan.

Cesc Fabregas melakukan penampilan dalam babak kedua selepas pulih daripada kecederaan lutut sebelum kekecewaan Morata ditamatkan oleh Sarri yang membawa masuk Olivier Giroud ketika aksi berbaki 10 minit untuk ditamatkan.