SERBIA 1 SWITZERLAND 2

Xherdan Shaqiri menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir untuk membawa Switzerland selangkah ke pusingan 16 selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Serbia dalam Kumpulan E, Piala Dunia di Stadium Kaliningrad, awal pagi tadi.


Penyerang Stoke City itu tenang ketika melakukan sentuhan terakhir selepas skuad bimbingan Vladimir Petkovic itu mengikat kedudukan 1-1 menerusi Granit Xhaka pada awal babak kedua.

Shaqiri, yang terlepas daripada perangkap ofsaid, melarikan bola dari tengah padang sebelum berjaya menewaskan penjaga gol Serbia, Vladimir Stojkovic.

Pemain tengah Arsenal, Xhaka, terlebih dahulu menafikan tanggapan bahawa Switzerland sebuah pasukan yang kurang menyengat dalam serangan apabila dia meledak dari jarak 25 meter untuk membawa pasukannya kembali ke dalam saingan.

Aleksandar Mitrovic, yang menimbulkan kekacauan dalam kotak penalti Switzerland sepanjang babak pertama, menjaringkan peluang kedua diberikan kepadanya bagi membantu Serbia yang kelihatan yakin selepas mengalahkan Costa Rica 1-0 dalam perlawanan pertamanya.

Ketika itu, Mitrovic tidak mempunyai masalah untuk melakukan tandukan daripada hantaran silang sekalipun dikawal pertahanan lawan.

Nasib skuad bimbingan Mladen Krstajic, Serbia, untuk melayakkan diri ke peringkat pusingan kalah mati kini bakal ditentukan menerusi perlawanan terakhir Kumpulan E menentang Brazil, awal pagi Khamis ini.

Sementara itu, Switzerland hanya memerlukan satu mata dalam perlawanan menentang Costa Rica yang berlangsung serentak untuk menjamin kemaraan.