HERTHA BERLIN 2 BORUSSIA DORTMUND 3

Marco Reus menjaringkan gol dalam waktu kecederaan untuk memastikan kemenangan 3-2 Borussia Dortmund ke atas Hertha Berlin, yang beraksi dengan sembilan pemain, dalam perlawanan di Stadium Olimpik Berlin, awal pagi tadi, untuk melonjak ke tangga teratas Bundesliga.


Salomon Kalou hampir menjadi wira kemenangan Hertha selepas dua jaringannya meletakkan pasukan itu dua kali di depan.

Bagaimanapun, Dortmund memadam kedua-dua kelebihan itu -- Thomas Delaney dan Dan-Axel Zagadou menjaringkan gol dalam setiap separuh masa -- sebelum mereka terpaksa menunggu sehingga ke minit-minit akhir untuk Reus menjaringkan gol kemenangan susulan hantaran lintang Jadon Sancho.

Kemenangan itu memberikan Dortmund sedikit kelebihan di depan Bayern Munich, yang akan berdepan Mainz di Arena Allianz awal pagi esok, dan berharap kejayaan terbaru itu akan memberikan mereka momentum untuk terus mengejar kejuaraan musim ini.

Dengan kemerosotan prestasi yang menyaksikan mereka turut tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah, skuad kendalian Lucien Favre itu hanya meraih dua kemenangan daripada enam perlawanan liga terakhir mereka, namun mereka kini kembali di tangga teratas Bundesliga.

Hertha terlebih dahulu di depan pada minit keempat selepas Maximilian Mittelstadt meluru masuk dari sebelah kiri untuk melakukan percubaan yang gagal ditangkap kemas Roman Burki yang membenarkan Kalou melakukan sepakan susulan dari jarak tiga ela.

Dortmund menjaringkan gol penyamaan 10 minit selepas itu apabila Delaney memintas bola untuk melakukan percubaan kaki kiri yang terbias Karim Rekik untuk menewaskan Rune Jarstein.

Jarstein melakukan aksi menyelamat penting ketika dia menafikan percubaan Jacob Bruun Larsen yang menerima hantaran terus Reus.

Hetha kemudian memperoleh sepakan penalti pada minit ke-35 selepas bola terkena tangan Julian Weigl ketika dia cuba menghalang hantaran lintang Ondrej Duda.

Kesempatan itu dimanfaatkan Kalou untuk kembali meletakkan pasukannya di depan.

Perlawanan sengit itu kembali seimbang selepas Zagadou menanduk masuk bola sepakan penjuru Sancho pada awal babak kedua, namun Hertha hanya kekurangan beberapa sentimeter untuk kembali di depan susulan percubaan Marko Grujic dari jarak 15 ela yang terkena palang.

Pengadil perlawanan, Tobias Welz, menafikan sepakan penalti Hertha selepas Duda dijatuhkan Abdou Diallo, sebelum pelawat melakukan serangan balas pantas yang berkesudahan dengan percubaan melambung tinggi Sancho.

Hertha sekurang-kurangnya boleh meraih satu mata andai Jordan Torunarigha tidak menerima kad kuning kedua gara-gara mengasari pemain gantian, Achraf Hakimi, sebelum Vedad Ibisevic dilayangkan kad merah kerana melontarkan bola ke arah Burki susulan kecewaannya terhadap jaringan kemenangan Reus.