LIVERPOOL 3 TORINO 1

Liverpool melengkapkan kempen pra-musim yang cemerlang apabila menundukkan Torino 3-1 dalam aksi di Anfield, awal pagi tadi.


Persembahan yang memukau susulan kejayaan membelasah Napoli 5-0, Sabtu lalu, tampak dikejutkan dengan kegagalan pemain yang baru menyertai The Reds, Fabinho, untuk menyempurnakan sepakan penalti selepas Gleison Bremer menjatuhkan Sadio Mane.

Namun, Roberto Firmino membuka tirai jaringan menerusi sentuhan mudah pada minit ke-21 setelah Mohamed Salah melakukan hantaran lintang.

Firmino turut meletakkan nama dalam senarai bantuan jaringan apabila melakukan hantaran untuk Georginio Wijnaldum menambah gol tuan rumah sebelum tandukan Andrea Belotti memberikan harapan buat pelawat ketika perlawanan berusia 30 minit.

Liverpool melakukan pertukaran, termasuk membawa masuk Loris Karius menggantikan Alisson di samping dua lagi pemain yang memberikan kemenangan mutlak buat pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu.

Xherdan Shaqiri mengutip bola dari bawah dan melancarkan gerakan bersama Nathaniel Clyne yang kemudian menyempurnakan hantaran lintang untuk disudahkan oleh Daniel Sturridge.

Liverpool akan memulakan saingan Liga Perdana Inggeris musim 2018/19 apabila berdepan West Ham United, Ahad ini.