IRAN 0 SEPANYOL 1

Tuah gol Diego Costa membantu Sepanyol menundukkan Iran untuk menikmati kemenangan 1-0 dalam aksi Kumpulan B Piala Dunia 2018 di Kazan, awal pagi tadi.


Skuad bimbingan Carlos Queiroz itu menampilkan aksi bertahan kental untuk mengekang separuh daripada gerakan Sepanyol untuk juara dunia itu mengharungi detik mengecewakan sehinggalah minit ke-53.

Costa, yang menemui sentuhan penyudah sebanyak dua kali ketika seri 3-3 dengan Portugal tempoh hari -- akhirnya meledak gol selepas usaha Ramin Rezaeian untuk mengeluarkan bola terkena kakinya lalu melantun ke penjuru kiri pintu gol.

Lapan minit berselang, Iran sempat meraikan jaringan Saeid Ezatolahi, namun kegembiraan mereka terbantut setelah pengadil, Andres Cunha, mendapatkan nasihat Video Bantuan Pengadil (VAR) dan mengesan Rezaeian berada di posisi ofsaid dalam gerakan itu.

Susulan jaringan Costa, aksi Iran jauh lebih positif yang menyaksikan tandukan Mehdi Taremi tersasar ketika mereka memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan.

Kemenangan itu melonjakkan Sepanyol sebaris dengan Portugal di puncak Kumpulan B dan sedar kemenangan ke atas Maghribi, Isnin ini sudah cukup untuk mereka lolos ke peringkat kalah mati.

Sementara itu, Iran akan menghadapi Portugal pada hari yang sama serta memerlukan kemenangan untuk mara ketika berdepan Cristiano Ronaldo dan rakan sepasukannya.