"Jangan sampai berpecah," demikian pesanan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar, terhadap calon yang mewujudkan kem bagi mencerahkan peluang untuk menang pemilihan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu pada 5 Mei ini.

Tindakan mewujudkan kem untuk mencerahkan peluang dilihat sebagai strategi calon dan ia adalah pilihan masing-masing, cuma Tunku Imran berharap perkara itu tidak memecah-belahkan keharmonian dalam MOM.

Katanya, ia penting kerana MOM perlu bekerjasama dengan semua persatuan sukan kebangsaan, terutama untuk menghadapi temasya sukan seperti Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos depan.

"Kali ini saya tidak nampak begitu ketara (berpuak-puak). Sudah tentu ada sesetengah individu mahu kembali dan ia boleh difahami kerana mereka mempunyai keyakinan. Mereka yakin boleh lakukan," katanya.

Beliau, yang tidak mempertahankan jawatan presiden yang disandangnya sejak 20 tahun lalu, menyifatkan perebutan jawatan timbalan presiden dan setiausaha agung cukup menarik.

Calon timbalan presiden, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, sementara calon setiausaha agung, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, dianggap calon muda yang perlu berdepan pegawai berpengalaman.

"Contohnya, setiausaha agung memerlukan pengalaman berhubung dengan pihak luar, terutama di peringkat antarabangsa. Sudah tentu, orang muda boleh belajar perkara itu.

"Jadi, selalu ada isu di antara orang muda dengan berpengalaman, maksud saya kita boleh berkembang dengan peralihan itu," katanya lagi.

Calon presiden:

• Datuk Seri Norza Zakaria (menang tanpa bertanding)

Calon timbalan presiden:

• Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi
• Datuk Megat Zulkarnain Omardin

Calon naib presiden:

• Prof Datuk Zakaria Ahmad (penyandang)
• Datuk Paduka Mumtaz Jaafar (penyandang)
• Datuk Ong Poh Eng (penyandang)
• Datuk Nur Azmi Ahmad
• Mahinda Valipuram
• Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim
• Datuk S. Shamala
• Datuk Mohamad Taufik Omar
• Nik Azzeen Adam Daud

Calon setiausaha agung:

• Datuk Low Beng Choo (penyandang)
• Datuk Mohd Nazifuddin Najib