Jangan kecewakan saya dan negara, kata Dr. Mahathir

Oleh Staff Writer 7 Disember 2018 2780
Jangan kecewakan saya dan negara, kata Dr. Mahathir
"Jangan kecewakan saya dan negara kita,” kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang akan menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 di antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

Dalam pertemuan untuk menyuntik semangat skuad Harimau Malaya di Perdana Putra hari ini, Dr. Mahathir berkata melalui kemenangan, kebolehan negara dapat dibanggakan.

“Kita nak cari kemenangan kerana kita nak berbangga dengan kebolehan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab mempertahankan maruah dan kehormatan negara,” katanya yang berharap skuad Harimau Malaya akan melakukan yang terbaik untuk mendapat kemenangan.

Dalam pertemuan itu yang dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM,) Datuk Hamidin Mohd Amin, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe, dan kapten, Zaquan Adha Abdul Radzak, Hamidin juga menyampaikan jersi No 7 kepada Dr. Mahathir.

Malaysia akan bertemu pasukan Vietnam dalam perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 yang akan menggunakan format timbal balik dengan skuad negara bakal melayan kunjungan Vietnam, Selasa ini sebelum aksi final kedua di Hanoi, Sabtu depan
 
Dr Mahathir dalam pertemuan itu turut berpesan agar para pemain berdisiplin, khususnya menjaga masa rehat dan berlatih bersungguh-sungguh dan bersemangat untuk mendapat kemenangan.

“Saya harap anda akan bekerja keras dan banyak berlatih. Hidup, tidur dan fikir hanya bola dan menang untuk Malaysia,” katanya.

Dr. Mahathir turut menyatakan hasratnya untuk melihat pasukan Malaysia melayakkan diri dalam Piala Dunia suatu hari  nanti.

“Bola sepak adalah satu sukan yang dahulunya Malaysia kuat dan kerap menang. Sekarang, kita ketinggalan," katanya.

Beliau berkata negara Jepun telah mencapai kejayaan yang cukup pantas dan amat baik sedangkan dahulu mereka berada di belakang Malaysia dalam sukan bola sepak.

“Disebabkan mereka berlatih bersungguh-sungguh, Jepun telah maju dalam bola sepak sehingga dapat beraksi dalam Piala Dunia. Jadi, saya nak lihat pasukan Malaysia akan beraksi dalam Piala Dunia suatu hari nanti,” katanya.

Bagi Hamidin pula, skuad negara sedia menyahut cabaran yang dilontarkan oleh Dr. Mahathir itu dan akan membuktikan Malaysia mampu meraih kejuaraan edisi ini.

"Ia merupakan cabaran yang baik buat pasukan.

"Saya menggemarinya kerana ia akan memberikan motivasi buat barisan pemain dan pegawai untuk muncul juara.

"Kami berharap perjumpaan itu akan memberikan semangat buat pasukan dalam memburu kemenangan dalam kedua-dua perlawanan akhir," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen