Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, mengesahkan penyerang skuad B-22 negara, Muhammad Jafri Firdaus Chew, sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menyertai kelab itu bagi menghadapi Liga Malaysia tahun depan.

Katanya, penyerang Pulau Pinang itu menjadi pilihan PKNS berlandaskan potensi yang dipamerkannya ketika bersama skuad B-22 negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Mahfizul turut berasakan Jafri sebagai calon sesuai untuk bergandingan bersama kapten pasukan, Safee Sali, di bahagian serangan pada musim depan.

"Jafri telah menandatangani MoU dengan PKNS. Jadi, kami berasa berbesar hati. Sekarang ini, kami sedang memuktamadkan syarat-syarat peribadi.

"Pertama, kami melihat dia mempunyai prospek yang begitu besar di dalam arena bola sepak.

"Kami melihat dia amat sesuai digandingkan dengan Safee Sali di mana kami berharap mereka berdua akan berganding bahu dan boleh memberi impak besar kepada PKNS pada musim depan," katanya.

Selain Jafri, turut menandatangani MoU menyertai PKNS ialah pertahanan Kelantan, Mohd Qayyum Marjoni Sabil.

Namun, Mahfizul mengakui kelab itu dalam proses mendapatkan khidmat beberapa lagi pemain untuk mengukuhkan lagi pasukannya.

"Kami jangkakan akan mendapatkan beberapa lagi pemain bagi memantapkan pasukan untuk saingan Liga Malaysia, Insya-Allah," katanya.