"Mereka perlu melakukan kesilapan untuk memperoleh pengajaran," kata ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, yang menganggap kesilapan ketika bertemu Thailand dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, Kejohanan AFF B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh semalam sebagai pengajaran berguna untuk pemainnya.

Nasib jelas menyebelahi skuad negara apabila Kemboja menewaskan tuan rumah, Vietnam, 2-1 untuk mengesahkan kemaraan Malaysia ke separuh akhir.

Tegasnya, ia pengajaran yang cukup berguna buat pemain menjelang aksi separuh akhir bertemu Indonesia petang esok.

"Perkara seperti ini sering terjadi dalam bola sepak di peringkat remaja, jadi ia sesuatu yang telah terjadi dan anda tidak boleh mengubahnya lagi.

"Kuncinya ialah dia (penjaga gol, Firdaus Iman Mohd Fadhil) dan seluruh pasukan mempelajari sesuatu daripada kesilapan itu.

"Saya tidak menyalahkannya kerana dia telah mencuba untuk bermain seperti yang kami arahkan.

"Namun, penyerang mereka (Thailand) amat pantas untuk memberikan tekanan kepadanya dan itulah yang terjadi.

"Saya tidak anggap dia yang bertanggungjawab (atas kekalahan itu)," katanya.

Pertemuan dengan Indonesia pasti menuntut kekuatan mental yang lebih baik dan jika ia mampu dilaksanakan, slot final akan menjadi milik Malaysia.

Maloney sedar anak buahnya berdepan situasi lebih getir, namun kekalahan kepada Thailand perlu menjadi peringatan bahawa satu kesilapan kecil mampu membunuh keseluruhan pasukan.

"Ia amat baik untuk pemain ini layak ke separuh akhir.

"Kami akan berdepan Indonesia dan saya pasti mereka adalah pasukan yang baik kerana mereka merupakan juara satu lagi kumpulan.

"Jadi, kami menjangkakan satu lagi perlawanan yang sukar," tambahnya.