Jaami mungkin perkuat skuad B-19 kebangsaan

Oleh Staff Writer 17 Ogos 2019 15402
Jaami mungkin perkuat skuad B-19 kebangsaan
Penyerang remaja kacukan England-Malaysia, Jaami Qureshi, mengakui dia menerima tawaran daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memperkuatkan skuad B-19 dan B-23 kebangsaan selepas melakukan perbincangan.

Sebelum ini, tular di media sosial dengan perkhabaran dia kini beraksi buat skuad B-16 kelab Liga Perdana Inggeris, Brighton and Hove Albion, sekali gus membuatkan pemain yang memperkuatkan pasukan B-15 England pada tahun lalu itu menjadi perhatian tatkala ibunya berasal dari Ipoh, Perak.

Selain Jaami yang kini berusia 15 tahun, antara nama lain yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam skuad Harimau Malaya kerana memiliki pertalian darah dari Malaysia adalah pemain kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal, dan dia pernah meluahkan hasrat untuk beraksi bersama dua pemain muda negara, iaitu tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.

Justeru, Jaami tidak menolak andai satu hari nanti dia akan menyarung jersi skuad kebangsaan sambil mengesahkan perbincangan telah dilakukan di antara pihak FAM dan keluarganya.

"Selepas melakukan perbincangan, pihak FAM menawarkan saya untuk memperkuatkan skuad B-19 dan B-23. Jadi, lihat nanti bagaimana tetapi ia pastinya peluang yang bagus," katanya dalam temu bual [email protected] melalui Astro Arena, hari ini.

Sementara itu, Jaami, yang memulakan perjalanan bola sepak bersama akademi kelab Brentford sebelum berpindah ke Chelsea dan kini bersama Brighton, mengakui saingan di England memang sangat kompetitif tetapi faktor menjadikan permainannya meningkat setiap musim.

"Saya bermula bersama Brentford pada usia yang sangat muda. Namun, disebabkan akademi itu terpaksa ditutup, saya perlu mencari pasukan baru.

"Kemudian, saya menyertai akademi Chelsea serta Fulham sebelum akhirnya ditawarkan kontrak bersama Brighton pada 2016 pada usia 12 tahun," tambahnya.

"Sewaktu beraksi dalam skuad B-14, saya ditawarkan kontrak pra profesional yang merangkumi biasiswa. Kontrak tersebut menambahkan semangat saya untuk memastikan dapat berada dalam skuad utama pada usia 17 tahun.

"Beraksi dalam Liga Perdana Inggeris, itu satu impian.

"Beraksi di peringkat yang tinggi, anda sentiasa berdepan pasukan besar seperti Arsenal, Tottenham Hotspur dan Chelsea. Anda perlu bekerja keras untuk memastikan sentiasa bersaing."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen