Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Asmad Ahmad, menganggap isu pelajar tidak mendapat pelepasan ke Kejohanan AFC B-19 Tahun tidak sepatutnya berlaku andai ada perbincangan terbaik di antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihak sekolah.

Asmad berpendapat adalah lebih baik sekiranya FAM sendiri berbincang terlebih dahulu bersama pihak sekolah mengenai penjaga gol, Firdaus Imran Mohd Fadhil, yang tidak mendapat kelonggaran daripada Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) untuk ke Jakarta, 20 Oktober ini.

Baginya, isu sedemikian tidak patut timbul jika dilihat tempoh masa di antara Kejohanan AFC B-19 Tahun dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak bertindih.

"Kedua-duanya penting kerana mewakili negara untuk melihat sejauh mana pasukan beraksi dalam saingan ini," kata Asmad.

"Dalam isu ini, perlu ada perbincangan di antara pihak sekolah dan FAM untuk mendapatkan keputusan yang baik untuk kedua-dua pihak."

Jelas Asmad, sekolah sukan sentiasa menyokong barisan pelajar yang membawa nama negara ke kejohanan antarabangsa.

Namun, ia mestilah menerusi prosedur yang tepat bagi mengelak isu sedemikian berlaku pada masa depan.

"Setakat ini, SSBJ menyokong setiap atlet yang beraksi di pentas antarabangsa. Cuma mereka perlu melalui prosedur yang betul kerana pihak sekolah sentiasa berusaha untuk membantu."