Isu geran: KLFA, FAS, Felda United belum terima bayaran kedua

Oleh Staff Writer 21 Ogos 2019 904
Isu geran: KLFA, FAS, Felda United belum terima bayaran kedua
Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dan Felda United mengesahkan mereka antara pasukan yang masih belum menerima pembayaran geran fasa kedua daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berjumlah RM1.5 juta yang sepatutnya diterima Khamis lalu.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, berharap MFL dapat memberikan penjelasan sama ada mereka mampu atau tidak melunaskan pembayaran geran berkenaan sebelum hujung bulan ini.

Sebelum ini, ketiga-tiga pasukan itu telah menerima notis mengenai kelewatan pembayaran daripada MFL, namun ia tidak menyatakan tarikh pembayaran dengan hanya menjelaskan kelewatan itu berpunca daripada masalah dokumentasi.

"Kami tiada masalah sebenarnya kalau ia lewat sedikit tapi janjinya pada 15 Ogos lalu tetapi tiada.

"Kemudian mereka menghantar surat menyatakan sedikit kelewatan kerana perlu menandatangani dokumen tetapi janganlah lewat sangat.

"Kalau boleh (pembayaran) sebelum akhir bulan ini.

"Mereka kena selesaikanlah atau beritahu apa yang berlaku.

"Jangan senyap sahaja kerana ada persatuan yang tidak mempunyai kewangan yang kukuh," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman, mengakui tidak berasa gusar mengenai pembayaran itu kerana percaya MFL mampu menyelesaikannya secepat mungkin.

"Sebenarnya, kami ada sasaran daripada peringkat awal.

"Tetapi selepas menerima penjelasan daripada MFL, jadi pihak Felda bersedialah terhadap sebarang kemungkinan.

"Daripada segi bajet kami sendiri, kami sudah bersedia daripada peringkat awal.

"Kalau geran ini masuk, sekurang-kurangnya kami boleh menyelesaikan apa jua tunggakan," katanya.

Setiausaha Agung FAS, Jefry Lana, turut mengesahkan pasukannya masih belum menerima pembayaran kedua.

"Pembayaran kedua belum lagi dan kami sudah menerima surat daripada MFL yang bertarikh 16 Ogos lalu.

"Sebab ada dokumentasi yang mereka perlu selesaikan dahulu," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen