Bekas Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Michel Platini, ditahan polis Perancis sebagai sebahagian siasatan mengenai pemilihan Qatar selaku tuan rumah Piala Dunia 2022.

Kementerian Kehakiman Perancis mengesahkan pegawai pencegah rasuah menahan individu berusia 63 tahun itu bagi proses soal siasat di Nanterre, hari ini.

Platini ketika ini sedang menghadapi penggantungan empat tahun daripada sebarang aktviti berkaitan bola sepak selepas Jawantankuasa Etika, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendapati dia menerima "pembayaran tidak setia' daripada bekas Presiden FIFA, Sepp Blatter.

Satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kehakiman Perancis kepada Omnisport tertulis: "Platini dibawa masuk untuk disoal siasat oleh pegawai daripada Pejabat Anti Rasuah Polis Kehakiman.

"Berikutan itu, dia ditahan."

Qatar dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022 ketika Platini terlibat dalam Jawatankuasa Eksekutif FIFA.

Keputusan itu mengundang kontroversi mengenai kesesuaian negara itu menganjurkan kejohanan bola sepak terbesar berkenaan.

Platini dan Blatter dibebaskan daripada tuduhan rasuah yang berkaitan dengan 'pembayaran tidak setia' pada 2015 tetapi kedua-duanya didapati bersalah ekoran siri pelanggaran lain, termasuk konflik kepentingan dan pembatalan tugas sebelum digantung lapan tahun oleh FIFA.

Penggantungan itu kemudian dikurangkan kepada enam tahun oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA dan kemudiannya kepada empat tahun oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Namun, Platini, yang juga bekas pemain tengah kebangsaan Perancis, sentiasa menafikan sebarang kesalahannya sebelum ini.

FIFA, bagaimanapun, masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.