Pemain tengah Sepanyol, Isco, berjenaka bahawa dia tidak akan berbual lagi dengan rakan sepasukannya di Real Madrid, Cristiano Ronaldo, selepas kapten Portugal itu mencatat hatrik ketika mengikat La Roja 3-3 dalam perlawanan pertama Kumpulan B, Piala Dunia 2018.

Sepakan percuma yang melencong dari Ronaldo pada minit-minit akhir perlawanan menafikan kemenangan buat Sepanyol, sekali gus menyempurnakan hatrik pertama Piala Dunia 2018 dalam aksi di Sochi, Jumaat lalu.

Ketika ditanya oleh El Larguero mengenai prestasi Ronaldo, Isco berkata: "Jangan bercakap dengan saya tentang Ronaldo! Saya tidak mahu berbual dengannya lagi selepas apa yang dilakukannya dalam aksi tempoh hari."

"Dia tidak menghasilkan kadar rembatan yang tinggi tetapi apabila melakukannya, ia memberikan Ronaldo dua gol sehingga mendapat keyakinan tinggi bagi mencatat hatrik," tambahnya.

Dalam masa sama, Isco turut mempertahankan penjaga gol pasukannya, David de Gea, walaupun bintang Manchester United itu melakukan kesilapan mudah sehingga membolehkan Ronaldo menjaringkan gol kedua.

"De Gea adalah penjaga gol berpengalaman dan dia salah seorang pemain terbaik dunia.

"Perkara sebegini biasa berlaku dan jika seorang penyerang melakukan kesilapan, ramai tidak akan mengambil kisah, namun perkara sebaliknya jika ia datang daripada penjaga gol.

"Saya mengenalinya selama bertahun-tahun dan dia tetap fokus dan gembira sambil terus yakin selepas menerima sokongan rakan sepasukan," tambah Isco.