Bekas penolong jurulatih negara , Irfan Bakti Abu Salim, menganggap pelan jangka panjang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), F:30, gagal selagi skuad senior negara tidak dapat membariskan pemain yang layak.

Irfan tidak meletak beban kesalahan 100 peratus di bahu pengendali negara, Tan Cheng Hoe, sebaik skuad negara gagal menempatkan diri dalam kelompok 34 terbaik Asia.

Cuma keutamaan yang sepatutnya diberi kepada skuad negara tidak berlaku di dalam skuad senior kebangsaan pada ketika ini yang menjadi persoalan Irfan.

Justeru, sasaran untuk skuad negara dalam pelan F:30 gagal bermula dengan langkah kanan dan tidak mustahil sasaran untuk ke Piala Asia 2023 hanyalah mimpi semata-mata.

"Saya berasakan ia akan gagal kerana Malaysia tidak mampu mengatasi Singapura dan bergelut untuk mengatasi Afghanistan.

"Saya berasakan (itu) sehingga Cheng Hoe mendapat kesebelasan terbaik dan betul-betul layak menyarung jersi skuad kebangsaan," katanya.

Irfan turut menekankan kualiti pemain naturalisasi perlu ada 'faktor X', malah lebih tepat pemain yang akan diberi kewarganegaraan itu nanti perlu lebih hebat daripada Muhamadou Sumareh.

"Malaysia perlu mendapatkan pemain naturalisasi yang jauh lebih baik daripada Sumareh. Rata-rata pasukan Eropah mengambil inisiatif yang sama, jadi mengapa tidak untuk Malaysia?"