Karim Ansarifard yakin Iran akan mengalahkan Portugal untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya menjelang perhitungan getir Kumpulan B, Piala Dunia, Isnin ini.

Iran berada di tangga ketiga dan hanya satu mata dipisahkan dengan juara Eropah, Portugal, dan Sepanyol menuju perlawanan terakhir di Saransk itu.

Anak buah Carlos Quieroz itu tidak bernasib baik untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata ketika menentang Sepanyol tempoh hari dengan gol penyamaan mereka dibatalkan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).

Ia merupakan persembahan hebat terhadap juara dunia 2010 itu dan penggempur Olympiacos, Ansarifard, berkata Iran sudah bersedia untuk memburu tempat ke pusingan 16 buat julung kalinya.

"Kami telah belajar banyak perkara dalam kempen Piala Dunia sebelum ini dan tahu bagaimana untuk melayani Portugal dalam edisi ini," kata Ansarifard.

"Iran diketuai jurulatih terbaik di dunia dan beliau telah mengajar kami bagaimana untuk menghadapi lawan kami. Dia telah banyak membantu kami dan kami bersedia untuk mengalahkan Portugal dalam aksi terakhir kumpulan."

Ansarifard menambah: "Selepas menjaringkan gol menentang Sepanyol, kami mencipta banyak peluang, kami melakukan yang terbaik tetapi saya fikir kami tidak bernasib baik pada penghujung perlawanan. Kami akan berjuang demi maruah ketika menentang Portugal.

"Strategi kami menentang Sepanyol ialah dengan bertahan dan kami mahu merobek gol mereka melalui serangan balas. Kami juga mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol tetapi tidak cukup tajam. Portugal memiliki ramai bintang tetapi kami dapat mengalahkan mereka sebagai satu pasukan."

Kunci Iran untuk layak adalah dengan menyekat kapten Portugal yang juga pemenang lima kali Anugerah Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo.

Ronaldo telah mengumpul empat gol dalam dua perlawanan susulan hatrik dalam perlawanan pembukaan menentang Sepanyol yang disusuli kemenangan 1-0 ke atas Maghribi.

Setelah seri 3-3 dengan Sepanyol, Portugal yakin akan mempamerkan aksi lebih meyakinkan ketika menghadapi Maghribi.

Pemain pertahanan Portugal, Jose Fonte, berkata: "Kami mempunyai keupayaan untuk beraksi baik, kami percaya dengan usaha kami dan kami telah membuat persiapan yang cukup baik untuk kejohanan ini tetapi tetap ada ruang untuk memperbaiki diri."


PEMAIN TUMPUAN:

Iran: Sardar Azmoun


Berpangkalan di Russia, Sardar Azmoun boleh mencetuskan impak besar terhadap skuad kendalian Fernando Santos itu. Penyerang Rubin Kazan ini belum menjaringkan gol dalam Piala Dunia, namun dengan rekod 23 gol dalam 35 penampilan antarabangsa, hanya masa akan menentukannya.

Portugal: Cristiano Ronaldo

Cukup sukar untuk meramalkan prestasi Cristiano Ronaldo, terutama ketika dia berada dalam prestasi semacam ini. Pemain berusia 33 tahun itu tidak menunjukkan tanda-tanda untuk mengendurkan mutu persembahannya dengan hasrat melebarkan rekod jaringan antarabangsanya kepada 85 gol ketika menghadapi Maghribi.

Ronaldo telah menjaringkan lima gol terakhir untuk Portugal dalam Piala Dunia -- pemain terakhir yang melakukannya ialah Oleg Salenko dari Russia yang melakukan jaringan dalam enam perlawanan berturut-turut pada 1994.