Inter Milan mengesahkan bahawa Mauro Icardi belum boleh beraksi memandangkan dia masih perlu meningkatkan tahap kecergasannya.

Icardi dilucutkan jawatan ketua pasukan oleh pengendali, Luciano Spalletti, bulan lalu dan sejak itu, dia tidak beraksi.

Penggempur itu mendakwa dia ditimpa kecederaan tetapi Inter berulang kali menjelaskan hasil ujian tidak menunjukkan sebarang isu spesifik.

Isu kontrak yang melibatkan Icardi dan ejen yang juga merupakan isterinya, Wanda Nara, serta Inter dilaporkan menjadi masalah buat kelab itu.

Namun, pengarah bahagian kesihatan Inter, Piero Volvi, memberi bayangan Icardi bakal kembali tidak lama lagi.

"Dia melalui peringkat pertama fisioterapi sebelum proses pemulihan khas individu," kata Volvi.

"Icardi akan kembali bersama pasukan, berjumpa rakan sepasukan. Kami akan menilai keadaannya minggu depan untuk mengetahui tempoh masa diperlukan untuk pulih sepenuhnya.

"Kami akan meneruskan proses biasa, sama seperti untuk pemain lain. Anda bermula dengan kerja keras secara peribadi, kemudian berlatih bersama seluruh skuad sebelum kembali sepenuhnya."