Pemain tengah, Mohamed Khalfan Al Harasi, menerima padah apabila disingkirkan daripada skuad B-23 Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Sukan Asia 2018 disebabkan peranannya selaku pencetus insiden pergaduhan dalam perlawanan persahabatan dengan skuad B-23 negara di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.

Pemain kelab Al-Ain berusia 19 tahun itu yang memakai jersi nombor 24 dalam perlawanan berkenaan, sengaja menyepak pemain pertahanan kebangsaan, Adib Zainudin, dalam insiden tanpa bola ketika menghampiri penghujung waktu kecederaan, yang mencetuskan campur tangan pemain dan pegawai kedua-dua pihak.

Persatuan Bolasepak UAE mengeluarkan satu kenyataan selepas perlawanan itu yang dimenangi Malaysia 2-0, untuk memohon maaf di atas insiden berkenaan.

بيان صحفي بخصوص أحداث مباراة منتخبنا الأولمبي الودية أمام نظيره منتخب ماليزيا .. pic.twitter.com/vMFVEcua3j
— UAEFA (@uaefa_ae) August 10, 2018

"Persatuan Bolasepak UAE ingin menyatakan rasa kesal di atas insiden dalam perlawanan itu yang membabitkan pemain kami, Mohammed Khalfan Al Harasi, yang tidak berkaitan dengan moral dan semangat kesukanan, yang sentiasa menjadi slogan semua pasukan kebangsaan kami dalam semua perlawanan, baik secara persahabatan atau rasmi, dalam pelbagai kejohanan serantau, sebenua dan di peringkat antarabangsa,” kata kenyataan itu.

“Berdasarkan laporan awal, kami telah memutuskan untuk mengeluarkan pemain ini daripada senarai pemain yang akan bertanding dalam Sukan Asia dan merujukkannya kepada jawatankuasa yang berkaitan dalam persatuan untuk mengambil langkah selanjutnya.

“Persatuan Bolasepak UAE memohon maaf kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di atas insiden malang ini yang tidak mencerminkan etika pemain-pemain UAE.”

UAE akan berdepan dengan China, Timor-Leste dan Syria dalam Kumpulan C, bola sepak Sukan Asia.