Walaupun kapten pasukan, Zaquan Adha Abdul Radzak, terpinggir daripada kem latihan skuad kebangsaan, namun ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, menganggap ia adalah barisan pemain terbaik yang dapat dikumpulkan menjelang aksi 'play-off' kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, 7 dan 11 Jun ini.

Panggilan pemain ke kem latihan negara kali ini tidak melibatkan Zaquan, yang kelihatan terpinggir daripada pemerhatian sepanjang dua bulan oleh pengendali berkenaan.

Walaupun tanpa kelibat watak penting yang menjadi tulang belakang skuad negara dalam saingan Piala Suzuki AFF hujung tahun lalu itu, Cheng Hoe berpuas hati dengan kesediaan pemain yang terpilih kali ini.

Seramai 11 pemain digugurkan berbanding sewatu saingan Piala Airmarine, Mac lalu, termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Nazirul Naim Che Hashim dan Hazwan Bakri

"Apa yang penting, setiap pemain yang terpilih perlu berkorban untuk negara memandangkan ia akan berlangsung pada bulan puasa dan musim perayaan Aidilfitri.

"Mereka perlu fokus sepanjang sesi latihan dan mengambil serius setiap perlawanan," katanya

Dengan barisan pemain tempatan yang sedia ada, Cheng Hoe kini tidak terlalu terdesak untuk mendapatkan pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh walaupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang giat mencari pemain yang bersesuaian untuk diberikan kerakyatan.

"Saya tidak terlalu terburu-buru untuk mendapatkan pemain naturalisasi kerana saya mengharapkan pemain-pemain tempatan dapat memberikan persembahan terbaik," tambahnya.