ICC: Penampilan pertama Hazard gagal bantu Madrid

Oleh Staff Writer 21 Julai 2019 5097
ICC: Penampilan pertama Hazard gagal bantu Madrid
BAYERN MUNICH 3 REAL MADRID 1

Eden Hazard melakukan penampilan pertamanya bersama Real Madrid ketika gergasi LaLiga itu tewas 1-3 kepada Bayern Munich dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Houston, hari ini.


Hazard turun buat kali pertama dengan menyarung jersi Madrid selepas berpindah daripada Chelsea manakala Luka Jovic, Ferland Mendy dan Rodrygo Goes turut membuat penampilan sulungbuat skuad kendalian Zinedine Zidane itu.

Namun, Corentin Tolisso, Robert Lewandowski dan Serge Gnabry menutup perlawanan sensasi itu ketika Bayern mendahului Madrid 3-0 dalam separuh masa kedua, selepas Zidane melakukan 11 pertukaran pada waktu rehat.

Toliso membuka jaringan pada minit ke-15 sebelum Bayern menguasai sepenuhnya babak kedua dengan pemain gantian, Lewandowski dan Gnabry, memaksa Madrid menelan kekalahan dalam perlawanan pembukaan itu.

Bagaimanapun, Madrid mempunyai sesuatu untuk diraikan apabila Rodrygo menandakan penampilan pertamanya dengan jaringan sagu hati menerusi sepakan percuma pada minit ke-84 selepas Sven Ulreich diperintahkan keluar padang gara-gara mengasari bekas penyerang muda Santos itu.

Gareth Bale dipinggirkan daripada skuad Madrid ekoran ketidaktentuan masa depannya, dengan dia dikhabarkan akan menyertai Bayern.

Ketika tiada ruang diberikan buat Bale, Jovic, Rodrygo dan Mendy pula diletakkan di bangku simpanan.

Babak pertama berlangsung menarik dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, dengan penjaga gol Bayern, Manuel Neuer, merupakan individu paling sibuk di Stadium NRG.

Selepas penjaga gol itu menyelamatkan percubaan Karim Benzema di atas garisan gol pada minit ke-11, Bayern memecah kebuntuan empat minit kemudian menerusi Tolisso.

Hantaran lintang rendah Kingsley Coman menemui Tolisso, yang percubaan awalnya dinafikan penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois, di atas garisan gol, namun pemain Perancis itu tidak mensia-siakan bola muntah daripada situasi berkenaan.

Madrid bergelut untuk mencari gol penyamaan dengan Benzema, yang mensia-siakan dua peluang dari jarak dekat, sekali lagi berpeluang untuk menebus kesilapan awalnya, namun dia gagal menempatkan bola ke dalam gawang lawan.

Sergio Ramos, Luka Modric dan Hazard turut memperoleh peluang sama sebelum waktu rehat, namun Bayern kental mempertahankan kelebihan itu.

Madrid menguasai permainan pada awal babak kedua, namun Bayern lebih berbisa sewaktu melancarkan serangan dan gergasi Jerman itu memberikan amaran awal apabila Thiago Alcantara, yang tidak dikawal, meluru masuk ke kawasan bahaya, namun gagal menyudahkan umpanan Coman menjelang sejam perlawanan.

Amaran itu ada asasnya apabila pertahanan tengah, Niklas Sule, mengatasi pertahanan Madrid dalam perebutan bola di udara untuk menanduknya ke arah Lewandowski dan penyerang kebangsaan Poland itu mempamerkan kemahiran mengawal bola yang menakjubkan sebelum menemui penjuru bawah gawang lawan pada minit ke-67.

Dua minit berselang, Gnabry memastikan kemenangan Bayern apabila pemain Jerman yang tidak dikawal itu sempat menampan bola sebelum melepaskan voli kencang yang menewaskan penjaga gol gantian Madrid, Keylor Navas.

Bayern menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Ulreich dilayangkan kad merah kerana mengasari Rodrygo di luar kotak penalti dan pemain baru Madrid itu memanfaatkan peluang itu untuk menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-81.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen