ICC: Nketiah bantu Arsenal benam Fiorentina

Oleh Staff Writer 21 Julai 2019 788
ICC: Nketiah bantu Arsenal benam Fiorentina
ARSENAL 3 FIORENTINA 0

Eddie Nketiah meneruskan kecemerlangannya apabila membantu Arsenal menewaskan Fiorentina 3-0 dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Carolina Utara, hari ini.


Penyerang itu, yang menjaringkan gol kemenangan sewaktu Arsenal menewaskan Bayern Munich, Khamis lalu, menjaringkan satu gol dalam setiap separuh masa di Stadium Bank of America, Charlotte.

Pemain berusia 20 tahun itu membawa Arsenal selesa mendahului dua gol sebelum Joe Willock memutlakkan kemenangan.

Sead Kolasinac meloloskan diri dari sebelah kiri untuk melakukan hantaran lintang sebelum Nketiah menghasilkan penyudah tenang untuk menjadikan kedudukan 1-0 pada minit ke-15.

Dalam cuaca panas di venue perlawanan, Fiorentina hampir menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian, namun tandukan Federico Ceccherini dikeluarkan oleh Nketiah di atas garisan gol.

Pasukan Serie A itu terus memberikan ancaman menjelang tamat separuh masa pertama hingga penjaga gol Arsenal, Emiliano Martinez, dipaksa bekerja keras untuk menafikan peluang Riccardo Sottil.

Satu lagi gerakan menarik direncanakan Fiorentina menjelang waktu rehat, namun Dusan Vlahovic merembat tinggi ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan Martinez.

Aksi menarik diteruskan dalam babak kedua dengan sepakan percuma lencong Alexandre Lacazette dari jarak 20 ela terkena palang pada minit ke-57.

Bagaimanapun, Arsenal melebarkan kedudukan pada minit ke-65 apabila hantaran 'cutback' Henrikh Mkhitaryan menemui Lacazette, yang kemudian menghasilkan lorongan untuk disudahkan Nketiah.

Pertukaran besar-besaran yang dilakukan Fiorentina, bagaimanapun, tidak membantu dalam mencari jaringan dengan peluang terbaik hanya tiba menerusi Gabriel Martinelli yang mensia-siakan situasi satu lawan satu untuk menghasilkan penyudah yang melambung tinggi.

Lacazette terus mengekalkan ketenangannya untuk melakukan umpanan yang disudahkan Willock bagi menjadikan kedudukan 3-0 pada penghujung aksi.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen