ICC: Felix cetus sensasi

Oleh Staff Writer 11 Ogos 2019 10046
ICC: Felix cetus sensasi
ATLETICO MADRID 2 JUVENTUS 1

Joao Felix membuktikan mengapa Atletico Madrid sanggup menggadaikan €126 juta (RM596.3 juta) untuk menandatanganinya apabila terlibat dalam kedua-dua gol ketika Rojiblancos menewaskan Juventus 2-1 dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC), awal pagi tadi. 


Sebagai perlawanan ulangan selepas Juventus menewaskan Atletico 3-2 secara agregat dalam pusingan 16, Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, Aletico membalas dendam itu dengan aksi menarik di Arena Friends, Stockholm, di mana Thomas Lemar memanfaatkan voli awal Felix untuk memberikan pendahuluan buat skuad kendalian Diego Simeone itu.

Pasangan itu sekali lagi bergandingan untuk menghasilkan gol kedua Atletico, yang kali ini disempurnakan pemain muda sensasi, Felix, yang prestasi bertenaganya menggembirakan pengendali pasukan itu.

Keputusan itu memberikan kepuasan buat Atletico, yang sebelum ini menewaskan seteru setempat, Real Madrid, 7-3 dalam ICC, sambil jurulatih Juve, Maurizio Sarri, memberikan peluang buat Paulo Dybala selepas perpindahannya daripada kelab itu gagal direalisasikan.

Voli jarak dekat Giorgio Chiellini ditepis ke palang oleh Jan Oblak, yang beraksi tangkas untuk menyelamatkan keadaan dengan sebelah tangan, dan Cristiano Ronaldo melepaskan rembatan padu yang terkena palang untuk memberikan permulaan cemerlang buat Juventus.

Namun, Atletico menghukum kegagalan Bianconeri pada minit ke-23 apabila Felix menemui bola hasil hantaran lintang Kieran Trippier untuk melakukan voli kencang yang sempat terbias ke paha Lemar sebelum menewaskan Wojciech Szczesny.

Pendahuluan itu hanya bertahan selama enam minit apabila Sami Khedira memanfaatkan kealpaan benteng Atletico untuk melakukan penyudah rendah yang melepasi kawalan Oblak, sambil Douglas Costa berperanan sebagai pengganggu tumpuan penjaga gol itu.

Lemar kemudian membalas jasa Felix selepas setengah jam perlawanan dengan melakukan lambungan ke dalam kawasan penalti yang gagal diatasi Matthijs de Ligt untuk disudahkan dengan voli dari jarak 12 ela.

Selepas percubaan Costa terkena tiang pada awal babak kedua, Adrien Rabiot turut berdepan situasi sama apabila sepakan kencangnya dari jarak 20 ela berakhir di palang gol.

Mario Mandzukic membantu Dybala melakukan percubaan dari dalam kotak penalti pada 13 minit terakhir, namun sepakan itu diselamatkan Oblak untuk Atletico menuju ke musim baru dengan nota kemenangan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen