ICC: Benfica mudah tundukkan Guadalajara

Oleh Staff Writer 21 Julai 2019 121
ICC: Benfica mudah tundukkan Guadalajara
BENFICA 3 GUADALAJARA 0

Raul de Tomas, Rafa dan Haris Seferovic menemui sasaran ketika Benfica menewaskan Chivas Guadalajara 3-0 dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Santa Clara, California awal pagi tadi.


Pasukan juara Liga Portugal itu tidak menunggu lama untuk memaparkan penguasaaan mereka apabila De Tomas, pemain baru yang dibeli daripada Real Madrid, menjaringkan gol pertamanya pada minit keempat.

Guadalajara memberikan respons menerusi dua percubaan yang terkena palang pada awal babak kedua selain satu yang terkena tiang pada penghujung aksi.

Skuad kendalian Bruno Lage, Benfica, memanfaatkan kegagalan itu apabila Rafa dan Seferovic menghasilkan penyudah kemas pada 20 minit terakhir untuk meraih kemenangan bergaya di Stadium Levi's.

Benfica bermula garang untuk berada di depan pada minit keempat.

Caio meluru masuk ke kawasan penalti Guadalajara sebelum menghantar bola kepada De Tomas yang tidak dikawal, sebelum penyerang itu mudah menolak masuk bola dari jarak tiga ela.

Guadalajara memaparkan aksi berbeza dalam babak kedua dengan percubaan jarak jauh daripada Miguel Ponce dan Alexis Vega, kedua-duanya terkena palang gol.

Penjaga gol kelab Mexico itu, Raul Gudino, melakukan aksi menyelamat gemilang untuk menafikan tandukan jarak dekat Seferovic, namun dia tidak terdaya untuk melakukan apa-apa ketika Benfica menambah dua gol lagi pada 20 minit terakhir.

Jota melakukan lorongan cantik kepada seorang lagi pemain gantian, Rafa, yang memaparkan ketenangan untuk meletakkan bola melepasi Gudino.

Seferovic turut memperlihatkan ketenangan sama tiga minit kemudian apabila mengejar hantaran Adel Taarabt untuk mewaskan penjaga gol Guadalajara itu bagi memastikan kemenangan Benfica.

Nasib malang terus menghantui wakil Mexico berkenaan apabila tiang gol menafikan sepakan percuma Ponce dalam waktu kecederaan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen