INTER MILAN 2 ATALANTA 0

Jurulatih Inter Milan, Luciano Spalletti, menyifatkan Mauro Icardi mirip seperti "burung pemangsa yang sentiasa membaham" apabila menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-0 pasukannya ke atas Atalanta dalam Serie A di San Siro, awal pagi tadi.


Penyerang Argentina itu kini mengumpul 13 gol selepas dua kali menanduk masuk dalam separuh masa kedua untuk mengangkat skuad Nerazzurri itu menduduki tempat kedua dalam liga, dua mata di belakang pendahulu, Napoli.

Spalletti lantas memuji keupayaan pemain berusia 24 tahun itu dalam mencari ruang ketika 'set piece' yang menjadi kunci kemenangan mereka.

"Tiada siapa yang menjaringkan gol menentang Atalanta tetapi Icardi melakukannya kerana dia seperti 'burung pemangsa yang sedang membaham mangsanya'," katanya kepada Mediaset Premium.

"Icardi adalah juara tetapi saya adalah salah seorang jurulatih yang fikir kemenangan harus dikreditkan kepada seluruh pasukan.

"Kami memberikan sedikit peluang kepada Atalanta, membuatkan perlawanan lebih sukar dan mencipta pergerakan yang memberikan kelebihan ketika menjaringkan gol.

"Inter memiliki identiti mereka dan malam ini mereka bermain seperti pasukan matang yang tahu untuk menunggu saat penting, tahu di mana untuk mengambil peluang," hujahnya.

Usaha Icardi dinafikan pada babak pertama apabila percubaannya diselamatkan oleh penjaga gol Atalanta, Etrit Berisha, dan walaupun mencipta dua gol selepas itu, dia masih memikirkan peluang yang dilepaskan.

"Saya memanfaatkan peluang daripada dua hantaran lintang yang menarik," kata Icardi.

"Saya masih kesal terlepas peluang pertama dalam babak pertama kerana saya sepatutnya menyudahkan peluang itu juga.

"Ia satu kemenangan penting kerana kami memerlukannya. Kami hanya perlu memberi tumpuan untuk menang," ujarnya.