Pengurus Inter, Luciano Spalletti, mendedahkan Mauro Icardi memilih untuk tidak menyertai skuad itu menjelang pertembungan pusingan 32 Liga Europa dengan Rapid Vienna.

Semalam, kelab Serie A itu menamakan penjaga gawang, Samir Handanovic, sebagai ketua pasukan baru tanpa memberi alasan mengapa Icardi dilucutkan daripada peranannya itu.

Pemain Argentina itu kemudian tidak tersenarai dalam skuad 19 pemain yang akan bertandang ke Austria untuk pertemuan pertama awal pagi esok.

Begitupun, Spalletti berkata Icardi tidak digugurkan dan ketiadaannya dalam skuad itu adalah atas keputusan pemain itu sendiri.

"Aksi esok adalah lebih mustahak dan selepas itu kami akan meluangkan masa untuk menjelaskan kedudukan Icardi," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Ia adalah keputusan yang sukar dan menyakitkan tetapi disokong oleh semua orang serta dibuat demi kebaikan Inter dan pasukan.

"Berkenaan ketiadaan kelibatnya? Dialah yang memilih tidak mahu menyertai pasukan ini. Dia disenaraikan. Dia dalam keadaan kecewa tetapi sukar bagi kami untuk membuat keputusan ini dan mengumumkannya kepadanya.

"Ada situasi yang perlu ditangani dan saya berkata demikian selepas menentang Parma. Apa yang berlaku ketika ini mengesahkannya.

"Sekiranya ada orang yang memikirkan perkara selain keputusan malam esok, maka mereka silap.

"Kami membuat keputusan pada masa yang sesuai dan fikir semasak-masaknya walaupun ia cukup perit.

"Perkara-perkara di sekelilingnya telah mengganggunya dan pasukan yang diketuainya. Kami perlu memberi tumpuan kepada perlawanan esok."

Icardi mempunyai kontrak dengan Nerazzurri sehingga 2021 tetapi terus dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona, ​​Real Madrid dan Manchester United yang dilaporkan memburu khidmat penyerang tersebut.

Bulan lalu, isteri merangkap ejen Icardi, Wanda Nara, menegaskan pemain itu akan menandatangani kontrak baru.

Namun, ia telah dilakukan secara berperingkat tetapi situasi menjadi semakin keruh apabila Nara dalam satu wawancara memberitahu Tiki Taka:" Saya ingin Mauro lebih dilindungi oleh kelab kerana kadang-kadang beberapa perkara buruk datang dari dalam pasukan itu sendiri."