Pengendali Inter Milan, Luciano Spalletti, percaya Mauro Icardi masih mampu meningkatkan prestasinya selepas muncul wira sewaktu mereka menundukkan Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah pertengahan minggu lalu.

Icardi menyamakan kedudukan menerusi rembatan voli pada minit ke-85 sebelum Matias Vecino melengkapkan kebangkitan tuan rumah untuk menewaskan Spurs 2-1 di San Siro.

Kapten Inter, Icardi, tampak tidak menonjol sehingga dia menyamakan kedudukan apabila hanya mencatat 16 sentuhan bola, sekali gus menjadi pemain paling sedikit memegang bola dalam kesebelasan utama.

Spalletti menggesa Icardi untuk terus meningkatkan permainan menjelang kunjungan Serie A menentang Sampdoria malam ini.

"Ia memerlukan segalanya," kata Spalletti.

"Dia harus melakukan pergerakan yang memberi kebaikan kepada pasukan tatkala rakan sepasukannya harus mempertimbangkan kemampuannya dan meletakkannya berada pada posisi yang bagus buatnya.

"Beberapa saat untuk bakat sudah mencukupi untuk seorang pemain bola sepak tetapi untuk bergelar juara, ia memerlukan perwatakan selama 95 minit."

Kejayaan Inter ke atas Spurs jelas tidak sejajar dengan rekod di peringkat domestik selepas mereka hanya meraih empat mata setakat ini.

Spalletti berharap agar keyakinan pasukannya dapat ditambah susulan kejayaan dalam saingan Liga Juara-Juara untuk mendapatkan persembahan yang konsisten.

"Jika kami mampu menang dalam perlawanan ini, kami akan menjadi lebih kuat kerana ia bermaksud itu adalah kemampuan kami tetapi ia harus terus dilakukan.

"Kami juga menikmati keadaan selepas mencatat kemenangan. Ia boleh disusuli dengan kemenangan malam ini dan ia akan memberi makna lebih besar berbanding memenangi dua aksi.

"Saya berharap agar pemain-pemain sedar akan kemampuan masing-masing."