Mauro Icardi menegaskan Inter mampu bersaing dengan mana-mana pasukan selepas memastikan kemenangan ke atas Tottenham dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Jaringan lewat daripada Icardi dan Matias Vecino menyaksikan Inter meraih kemenangan 2-1 ke atas Spurs di San Siro dalam aksi pembukaan Kumpulan B, awal pagi tadi.

Inter –- hadir ke dalam perlawanan selepas dikejutkan Parma (tewas 1-0) dan meraih hanya empat mata daripada empat aksi Serie A -- ketinggalan dalam perlawanan hingga minit ke-85 apabila Icardi dan Vecino meledak dua gol di Milan.

Icardi berpuas hati dengan keputusan perlawanan selepas permulaan musim 2018-19 yang hambar dan bakal berdepan Sampdoria pada Sabtu ini.

"Kami mengetahui kemampuan kami dan mampu bersaing dengan mana-mana pasukan, kami telah menunggu selama tiga bulan untuk kembali beraksi dalam saingan ini," kata Icardi.

"Kemenangan ini sangat bermakna buat pasukan. Kami cuba kekal tenang walaupun ketinggalan dalam perlawanan dan berharap untuk meneruskan momentum ini dalam aksi seterusnya.

"Inter menghadapi kesukaran sejak beberapa minggu yang lalu tetapi kemenangan ini melonjakkan semangat pasukan. Vecino menjaringkan gol dalam dua kemenangan penting dan perkara paling penting adalah kami meraih kemenangan."