Mauro Icardi berkata dia meninggalkan Inter Milan untuk menyertai juara bertahan Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), kerana mahu memenangi banyak trofi.

Penyerang Argentina itu menyertai PSG menerusi pinjaman jangka panjang sambil gergasi Perancis itu memiliki pilihan untuk pembelian tetap bernilai EUR70 juta (RM321 juta).

Pemain berusia 26 tahun itu, yang hadir ke Inter daripada Sampdoria pada 2013, menjaringkan 111 gol di pentas Serie A dan 124 gol dalam semua kejohanan untuk menduduki tangga kelapan senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman The Nerazzurri.

Icard -- yang dilucutkan jawatan kapten musim lalu dan diketepikan oleh pengendali, Antonio Conte -- berkata dia meninggalkan San Siro pada waktu yang tepat.

"Saya datang ke sini untuk bermain," katanya kepada Canal+.

"Jika anda hadir dengan pilihan pembelian, anda tahu pemain perlu memberikan aksi terbaik bagi memastikan kelab membelinya secara tetap. Lihat nanti musim panas depan.

"Saya dalam tahun ketujuh di Inter dan impian saya adalah beraksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah bersama mereka, di mana saya melakukannya pada musim lalu tetapi kami tidak memenangi sebarang kejuaraan.

"Saya fikir telah tiba masa untuk menyertai pasukan yang meraih kejuaraan, mencabar trofi dan memenanginya. Sudah sampai masa untuk saya menang.

"Kebenarannya adalah PSG diperkuatkan oleh barisan juara dan itu yang saya mahukan."

Icardi melakukan penampilan pertama buat PSG ketika menang 1-0 ke atas Strasbourg pada 14 September lalu sebelum berada dalam kesebelasan utama ketika menewaskan Real Madrid 3-0 dalam saingan Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, dia terlepas aksi menentang seteru utama, Olympique Lyon awal pagi tadi.