Mauro Icardi percaya Argentina memiliki jentera serangan terbaik di dunia, dengan Lionel Messi, Paulo Dybala dan Sergio Aguero menyertai penyerang Inter itu dalam skuad La Albiceleste.

Argentina akan berdepan Uruguay dan Venezuela dalam aksi kelayakan Piala Dunia -- kerja keras harus dipamerkan oleh Argentina untuk beraksi di Russia, tahun hadapan.

Jurulatih baru Argentina, Jorge Sampaoli, memiliki kualiti dalam serangan dan mampu merehatkan Gonzalo Higuain dalam aksi pertamanya mengendalikan pasukan itu.

Icardi teruja untuk menghadapi aksi akan datang, dengan menjanjikan persembahan yang mantap mampu dijana bersama rakan sepasukannya yang bertaraf dunia.

"Kami memiliki jentera serangan terbaik di dunia," kata Icardi.

"Ia sangat penting buat saya kerana dapat beraksi bersama Messi, Dybala, Di Maria dan Ever Banega.

"Mereka pemain-pemain yang berkualiti.

Icardi meledak dua gol ketika aksi pembukaan Serie A berdepan Fiorentina pada Ahad lalu dan penyerang itu mahu meneruskan aksi cemerlangnya ketika menyarung jersi Argentina selepas kembali bersama pasukan sejak November 2013.

"Saya berjaya beraksi dengan baik, kami mahu memulakan saingan dengan baik.

"Kini, saya mahu membuktikan kebolehan saya untuk cemerlang di pentas antarabangsa."