"Saya tidak akan pulang awal dan mengecewakan ibu-bapa."

Itu janji penyerang B-18 negara, Luqman Hakim Shamsudin, selepas terpilih untuk menyertai kelab divisyen utama Liga Belgium, KV Kortrijk, dengan kontrak selama lima tahun.

Sindrom pulang awal ke tanah air sering kali berlaku kepada pemain negara yang mendapat peluang beraksi di luar negara sebelum ini.

Antaranya, Nazmi Faiz Mansor, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Nazirul Naim Che Hashim selepas masing-masing tampak gagal untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di tempat mereka bermain.

Terkini, situasi itu menjadi kebimbangan terhadap Luqman yang mengembangkan sayap kariernya sebagai pemain profesional ke Eropah, bermula tahun depan.

"Yang penting solat jangan tinggal.

"Kalau rasa tertekan, kita kena dekatkan diri dengan Allah.

"Insya-Allah mak cik akan berikan semangat untuk dia belajar dan tingkatkan ketahanan diri duduk di rantau orang," kata ibunya, Hasmah Che Soh, dalam majlis pengumuman di pusat membeli belah Berjaya Times Square di ibu kota, pagi tadi.

Khidmat Produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu disambar KV Kortrijk selepas dia mempamerkan persembahan cemerlang dalam Kejohanan AFF B-18 di Vietnam, bulan lalu.

Ia diakui pemilik kelab itu, Tan Sri Vincent Tan -- juga pemilik Cardiff City -- dengan mengingatkan Luqman supaya berusaha keras demi memastikan perjalanan kariernya tidak hanya terhenti sekerat jalan.

"Sudah tentu pengurusan kelab memiliki kepercayaan ke atasnya.

"Saya fikir, apa yang penting adalah dia diberi peluang.

"Dia perlu bekerja keras untuk membuktikan bahawa pemain Malaysia mampu bermain di Eropah," katanya.

Pemain itu bakal menjadikan Cardiff City sebagai destinasi persinggahan singkat Januari depan sebelum ke Belgium.

Dalam pada itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak andaian usaha mereka terhadap Luqman telah dicantas oleh pihak lain.

Sebaliknya, badan induk itu menyokong penghijrahan pemain kelahiran Kelantan itu ke Eropah walaupun sudah mempunyai perancangan untuk membawa penyerang itu bermain dalam Liga Jepun.

"(Soal) kerjayanya, di mana dia akan berlatih dan menimba ilmu atau pengalaman, semuanya (terserah) di tangan Luqman juga.

"(Langkah ini) bukanlah (bermakna) dia dicantas daripada kami, sebaliknya pembangunan pemain juga menjadi keutamaan," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Luqman sebelum ini dijadual akan menyertai FC Tokyo, bulan depan, menerusi usahasama di antara badan induk itu dan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA).

Apa pun, Luqman bakal muncul sebagai pemain pertama negara dan keempat Asia yang beraksi dalam Liga Belgium, sekali gus dijadikan sebagai penanda aras kepada pemain muda di negara ini.

"Kami akan bersama dia dalam memberi sokongan padu kepadanya.

"Tetapi pada akhirnya, segalanya terpulang kepada dia untuk maju ke depan.

"Dalam bab ini, saya yakin dia boleh lakukan.

"Perkara yang sama dikatakan mengenai Hadi Fayyadh Abdul Razak (yang sedang berkelana di Jepun) dan ketika ini, dia telah beraksi dengan baik dan dihormati," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.