Zlatan Ibrahimovic mahu mengakhiri kariernya di Itali, menurut ketua jurulatih LA Galaxy, Guillermo Barros Schelotto.

Ibrahimovic telah mendedahkan bahawa dia tidak akan melanjutkan kontraknya bersama Galaxy, di mana pemain berusia 38 tahun itu hadir daripada Manchester United tahun lalu.

Bekas penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu telah dikaitkan bakal kembali ke Eropah, dengan Pesuruhjaya Liga Bolasepak Utama (MLS), Don Garber, minggu lalu mencadangkan bekas kelab, AC Milan, menjadi pilihan untuk menandatangani semula ejen bebas itu.

Napoli, Bologna dan Roma juga dilihat sebagai pilihan bekas pemain kebangsaan Sweden itu jika mahu kembali ke Serie A manakala pasukan Liga-A, Perth Glory, turut mengesahkan minat untuk mendapatkan khidmat Ibrahimovic di Australia.

Ditanya mengenai masa depan Ibrahimovic, pengendali Galaxy, Schelotto, memberitahu Radio Kiss Kiss: "Dia tidak tahu apa yang mahu dilakukan buat masa ini.

"Dia seorang pemain yang menakjubkan. Tetapi dia belum memikirkan mengenai langkah seterusnya -- berkemungkinan dia akan mengakhiri karier di Naples atau Milan.

"Saya tidak tahu destinasinya tetapi dia berhak dan mahu mengakhiri kariernya di Itali."

Ibrahimovic bersama Milan selama dua musim -- memenangi Serie A dan Piala Super Itali -- sebelum berhijrah menyertai PSG pada 2012, di bawah kendalian Carlo Ancelotti, yang kini membimbing Napoli.

"Ibrahimovic dan Ancelotti saling mengenali," katanya. "Perwatakan serta kualitinya adalah apa yang diperlukan Napoli."