Ia tidak adil -- Garay kecam pemecatan Marcelino

Oleh Staff Writer 12 September 2019 311
Ia tidak adil -- Garay kecam pemecatan Marcelino
Ezequiel Garay mengecam tindakan Valencia memecat pengendali, Marcelino, hanya selepas tiga perlawanan LaLiga musim ini.

Marcelino meninggalkan pasukan LaLiga itu semalam walaupun mengemudi kelab itu menduduki kelompok empat terbaik liga dalam dua musim terakhir.

Dia juga memenangi Piala Raja Sepanyol bersama kelab itu, musim lalu -- menewaskan Barcelona di pentas final -- tetapi selepas perselisihan faham dengan pemilik pasukan, Peter Lim, dia digantikan oleh Albert Celades.

Garay -- yang memulakan ketiga-tiga aksi LaLiga musim ini di bawah kendalian Marcelino -- meluahkan perasaannya menerusi laman media sosial.

"Selepas beberapa tahun bersama anda, bukan hanya di Valencia, saya amat mengenali anda secara profesional dan peribadi," katanya.

"Namun, bukan saya sahaja yang melihatnya. Anda telah buktikan kepada semua. Anda telah mempamerkan hasil kerja yang jelas dan bagus. Anda melakukan sesuatu yang besar.

"Siapa sahaja yang mengambil keputusan ini bukan hanya memberi kesan kepada anda tetapi peminat dan seluruh skuad.

"Saya dengan tegas mengatakan: Ia tidak adil."

Kapten Valencia, Dani Parejo, turut menyatakan rasa tidak puas hati dengan tindakan kelab menggantikan Marcelino.

"Tuan, saya ucapkan selamat maju jaya," katanya.

"Saya pasti anda akan sentiasa dalam keadaan baik ke mana sahaja anda pergi. Terima kasih kerana membuatkan kelab lebih besar dan menjadikan saya pemain lebih baik."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen