Antoine Griezmann yakin dengan peluang Barcelona untuk menyingkirkan Napoli dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah selepas terikat 1-1 dalam perlawanan pertama di Naples awal pagi tadi.

Bintang Perancis itu menegaskan keadaan pasti amat berbeza menjelang aksi timbal balik di Camp Nou bulan depan.

Barca memaparkan aksi longlai di Stadium San Paolo dan kelihatan bergelut untuk memecahkan keampuhan Napoli, yang mendahului pada minit ke-30 hasil sepakan gemilang Dries Mertens.

Griezmann kemudian menyudahkan hantaran Nelson Semedo untuk menyamakan kedudukan sebelum sejam permainan dan ia ternyata sudah mencukupi untuk mereka mengekalkan keputusan itu biarpun Arturo Vidal dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan.

Walaupun juara LaLiga itu tidak memaparkan aksi menarik, Griezmann menjangkakan sesuatu yang berbeza akan berlaku di gelanggang keramat mereka, Camp Nou.

"Kami mahu menang, kami datang ke sini untuk menang tetapi ia tidak berlaku," katanya selepas tamat perlawanan.

"Kami masih perlu bermain di gelanggang sendiri, di mana ia akan menjadi amat berbeza.

"(Akan ada) lebih banyak ruang, kami akan bermain di depan penyokong sendiri dan kami perlu menang.

"Kami sedar ia minggu yang penting.

"Saya fikir kami perlu berusaha dan berehat dengan sebaik-baiknya sebelum pertemuan Clasico," katanya.


Griezmann hanya dapat melakukan enam sentuhan dalam babak pertama dan kelihatan bergelut untuk memberikan impak.

Pemain kebangsaan Perancis itu mengakui dia tidak cukup terlibat sepanjang waktu itu.

"Pada awalnya, amat sukar untuk kami menguasai permainan bagi mencipta peluang dan percubaan.

"Kami perlu mengatasinya, ia terpulang kepada saya untuk memberikan ancaman.

"Adakalanya rakan sepasukan dapat melihat saya dan adakalanya tidak.

"Dalam babak pertama, saya tidak dapat melakukannya tetapi dalam babak kedua, ia berlaku," tambahnya.

Barca akan menantikan kunjungan Napoli dalam aksi timbal balik di Camp Nou pada 18 Mac ini.