Mats Hummels menegaskan tiada masalah di antara dirinya dan pengurus Borussia Dortmund yang sedang berdepan tekanan, Lucien Favre.

Walaupun pertahanan itu dilayangkan kad merah ketika berdepan Hertha Berlin, namun Dortmund menamatkan rentetan tiga perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan selepas menang 3-1, Sabtu lalu.

Bayern terpaksa bangkit daripada ketinggalan 3-0 sebelum mengikat pasukan kelompok bawahan, Paderborn, di laman sendiri sewaktu kembali daripada tempoh rehat antarabangsa bulan lalu.

Bercakap selepas perlawanan di Berlin, Hummels mempersoalkan pendekatan bertahan Favre apabila berkata: "Ayuh lupakan perlawanan ini. Ia jadi lebih mudah untuk memberi tekanan dalam formasi 4-1-4-1 dan saya akan membiarkannya."

Namun, pemenang Piala Dunia 2014 itu memberitahu Sport Bild bahawa dia tetap berada di belakang bekas pengurus Borussia Monchengladbach dan Nice, Favre.

"Tiada perbezaan dengan jurulatih, ia tidak masuk akal," katanya.

"Kami mempunyai hubungan baik dan banyak berbincang.

"Saya sukakan ideanya dan terkejut jika mereka salah faham dengan kenyataan saya yang kononnya mengkritik jurulatih. Saya tidak fikir begitu."

Bercakap secara terperinci mengenai aksi menentang Paderborn, Hummels menambah: "Jika kami perlu terus memberi tekanan, pendapat saya adalah kami lebih bagus dalam sistem ini.

"Saya rasa jurulatih mempunyai pandangan sama ketika berdepan Paderborn, jika tidak dia pasti tidak akan mengubahnya."

Dortmund kini menduduki tangga kelima Bundesliga, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Monchengladbach, tatkala mereka bakal mengharungi aksi menentang Fortuna Dusseldorf hujung minggu ini.