Callum Hudson-Odoi berharap sifat garang dan tidak gentar dalam diri dia serta rakan sejak kecil, Jadon Sancho, mampu memberikan satu aset besar buat England.

Pemain sayap Chelsea, Hudson-Odoi, muncul pemain termuda England yang melakukan penampilan di pentas kompetitif selepas dia menggantikan wira hatrik, Raheem Sterling, dalam 20 minit terakhir sewaktu England membelasah Republik Czech 5-0 dalam aksi kelayakan Euro 2020.

Percubaannya membawa kepada jaringan sendiri oleh Tomas Kalas untuk melengkapkan derita lawan dan menyuntik tambahan serangan skuad The Three Lions.

Sancho, sama usia 18 tahun seperti Hudson-Odoi, turut menyinar dalam kesebelasan utama pertama di peringkat kompetitif buat pasukan bimbingan Gareth Southgate itu dengan membantu jaringan pembukaan Sterling.

Sejak mula beraksi bersama skuad belia Watford dan Chelsea, Sancho dan Hudson-Odoi mencipta keserasian dan ia terbukti sejak mereka dibawa daripada skuad bawah 21 tahun ke pasukan senior awal minggu ini.

"Kami mengenali antara satu sama lain sejak kecil. Kami perah berentap bersama dan merupakan rakan karib," kata Hudson-Odoi.

"Saya berada di Chelsea, Sancho di Watford dan kami sering bertemu di atas padang. Kami selalu berbincang di luar padang, menghubungi satu sama lain dan bercakap mengenai segala perkembangan.

"Dia melalui musim hebat. Sejak saya berada di sini, dia membantu saya bermula pada hari pertama. Dia membuatkan saya selesa dan menambah keyakinan saya.

"Memiliki rakan seperti dia semestinya hebat kerana dia hanya mahu membawa anda kepada pasukan dan membantu. Dia mencetuskan perasaan hebat."