Karier Tim Howard dalam Liga Bolasepak Utama Amerika Syarikat (MLS) sedang menuju ke pengakhirannya.

Penjaga gol Colorado Rapids dan bintang Amerika Syarikat (AS) itu menggunakan platform Twitter untuk mengumumkan hasrat untuk bersara sebaik musim MLS 2019 berakhir.

"Saya teruja untuk memulakan musim baru MLS kerana ia akan menjadi yang terakhir buat saya," kata Howard.

"Ia akan menjadi sentimen besar kepada saya. Buat masa ini, saya akan menikmati setiap minit perlawanan dan seperti yang sering saya lakukan, bersaing sengit dan memimpin Rapids untuk meraih kemenangan."

Howard, yang bakal mencecah usia 40 tahun Mac ini, memulakan kerjaya profesionalnya lebih dua dekad lalu ketika membuat kemunculan pertama dengan New York/New Jersey MetroStars (kini dikenali sebagai Red Bulls) pada 1998.

Sejak itu, dia meniti kerjaya gemilang di Eropah, termasuk memperkuatkan Manchester United dan Everton, sebelum kembali ke kancah MLS bersama Rapids pada 2016.

Dia mengharungi kerjaya hebat bersama pasukan kebangsaan ketika mengemudi gawang AS dalam kempen Piala Dunia 2010 dan 2014, termasuk beraksi dalam perlawanan akhir Piala Konfederasi 2009.

Howard merupakan pemain paling banyak mewakili AS dengan rekod 104 perlawanan dan merakamkan 55 kemenangan.

Bahkan, dia melakar nama sebagai penjaga gol paling banyak melakukan aksi menyelamat dalam Piala Dunia, iaitu sebanyak 15 kali dalam kekalahan 1-2 AS kepada Belgium dalam edisi 2014.