Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, mengharapkan kelibat tiga pemain utamanya mendapat pelepasan dua kelab yang terlibat dengan Piala Malaysia, iaitu Kelantan dan Felda United, menjelang Kejohanan AFC dari 18 Oktober hingga 4 November depan.

Tiga pemain yang dimaksudkan ialah Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Hakimi Abdullah dari Kelantan serta Zahril Azri Zabri dari Felda United.

Ketiga-tiga pemain itu masih terlibat dengan aksi Piala Malaysia tatkala pasukan masing masing berada dalam kelompok lapan terbaik sambil dalam masa sama mereka juga berada dalam perancangan penting Hodak untuk persediaan ke Kejohanan AFC nanti.

"Keutamaan adalah terhadap pasukan kebangsaan. Apabila kami sudah melangkah sejauh ini dan saya memasuki tahun kedua, saya memiliki hubungan baik dengan kelab.

"Apabila pemain-pemain berdepan perlawanan rasmi seperti Piala Malaysia, saya melepaskan mereka dan jika kami memiliki aksi rasmi, saya mengharapkan kelab juga memberi laluan yang sama," kata Hodak.

Selain daripada pelepasan kelab yang terlibat serta isu kecederaan pangkal paha yang dialami Akhyar Rashid, kebimbangan Hodak turut terarah kepada beberapa nama yang gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad senior sepanjang saingan musim ini.

"Apa yang menjadi masalah adalah ada antara mereka beraksi dalam saingan Sukan Malaysia (Sukma) sambil nama-nama yang berada dalam skuad utama berjuang untuk mendapatkan tempat.

"Ada beberapa pemain yang memberi komitmen kepada kelab seperti Ammar Akhmall Alias (Felcra FC) tetapi hanya tampil beraksi selama beberapa minit, sama juga dengan Zafuan Azeman bersama Kedah. Ada juga pemain yang sudah tersingkir awal daripada saingan Liga Malaysia," katanya.

Selepas muncul pasukan terbaik Asia Tenggara, Hodak mengharapkan penampilan anak buahnya kali ini sekurang-kurangnya mampu melepasi peringkat separuh akhir di pentas Piala AFC.